Wednesday, September 7, 2011

Soalan bocor di hari raya

Di musim perayaan ini, amalan kunjung mengunjung ke rumah sanak-saudara sudah menjadi tradisi di negara kita. Disamping bermaaf-maafan, ia juga dapat mengeratkan hubungan silatulrahim sesama Islam. Biasanya pada awal bulan Syawal, amalan kunjung mengunjung dilakukan di rumah saudara-mara manakala setelah seminggu bulan Syawal hingga ke akhir Syawal, kunjung mengunjung dilakukan di rumah sahabat handai. Sejak kebelakangan ini juga, amalan rumah terbuka atau 'open house' sudah menjadi tradisi di negara kita ini juga. Rumah terbuka atau open house ini adalah bagi memudahkan mereka yang membuat rumah terbuka tersebut untuk menjemput rakan-rakan & sahabat handai untuk berkunjung ke rumah mereka. 

Topic kali ini bukan pasal rumah terbuka atau open house tapi mengisahkan soalan-soalan 'cepu emas' yang biasanya akan ditanya oleh saudara-mara kita apabila kita berkunjung ke rumah mereka. Di antara soalan-soalan yang biasa ditanya adalah seperti di bawah :

1. 'Kau ni bila nak kahwin? Umur meningkat dah. Memilih sangat ni.' - Soalan untuk yang bujang.
2. 'Kau ni bila nak dapat anak ni? Kahwin dah 3-4 tahun dah.' - Soalan untuk yang belum dapat anak.
3. 'Kau ni bila nak tambah baby lagi ni? Takkan satu je.' - Soalan untuk yang dah ada anak.

Ini adalah soalan-soalan yang biasa ditanya oleh saudara-mara kita. Cuba kita renungkan soalan-soalan ini. Nampak kelihatan mudah untuk dijawab tapi adakah mudah untuk yang perlu menjawab soalan-soalan ini? 

Pada pandangan peribadi aku, soalan ini merupakan soalan yang perlu ditanya mengikut kesesuaian keadaan dan situasi. Mungkin pada sesetengah pihak, mereka boleh menjawab soalan ini dengan tenang tanpa sebarang tekanan. Walaubagaimana pun, mungkin ada sesetengah pihak yang tidak dapat menjawab soalan ini dan memberi tekanan kepada individu tersebut di atas soalan yang diajukan. Sentiasalah berfikir sebelum kita bertanyakan sesuatu kepada seseorang itu demi menjaga pertalian silatulrahim antara kita.

Antara kesan yang mungkin dihadapi sekiranya soalan tersebut diajukan kepada seseorang yang sensitif & mudah tersinggung adalah seperti berikut :

- Individu tersebut akan cuba untuk mengelakkan diri dari mengunjungi ke rumah saudara yang bertanyakan soalan-soalan tadi kerana berasa segan & menjadi tekanan kepada individu tersebut. (Menyebabkan putusnya hubungan silatulrahim)

- Individu tersebut akan membalas pertanyaan tadi dengan mencari kelemahan-kelemahan mereka yang bertanya soalan tersebut. (Menyebabkan perbalahan & pergaduhan)

- Individu tersebut akan tertekan dan melakukan sesuatu perkara diluar jangkaan pemikiran kita seperti berjumpa bomoh untuk mendapatkan jodoh atau berjumpa dukun untuk mendapatkan anak. (Menyebabkan berlakunya khurafat)

Di atas tadi adalah di antara kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku hasil daripada soalan-soalan yang disangkakan mudah tadi. Jodoh dan rezeki telah ditentukan oleh Allah. Milik kita hanyalah berusaha. Bacalah posting berkenaan JODOH, petikan daripada Beduk Diketuk - Pahrol Mohd Juoi untuk renungan kita bersama.



Kepada yang ditanyakan soalan-soalan 'cepu emas' tersebut, janganlah kamu tertekan kerana setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Kepada yang bertanyakan soalan-soalan 'cepu emas' tersebut, berfikirlah kepada siapa kamu bertanya soalan itu dan renungkan kesan daripada tindakan kamu itu. Marilah sama-sama kita mengeratkan silatulrahim di bulan Syawal ini dengan sentiasa bermaaf-maafan sesama kita tapi bukan mencari memutuskan silatulrahim dengan soalan-soalan tersebut. 


No comments: