Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Saturday, January 10, 2015

Mesin Cahaya Masa oleh Wani Ardy


Pernah tengok gambar di atas? Penulisnya Wani Ardy. Kalau suka baca tulisan Wani Ardy, boleh beli buku kedua Wani Ardy terbitan Selut Books berjudul Mesin Cahaya Masa. Mesin Cahaya Masa adalah himpunan puisi dan catatan oleh Wani Ardy. Seperti Langit Vanilla, Mesin Cahaya Masa juga membuatkan aku melihat tentang kehidupan dan membawa diri aku untuk dekat pada DIA. Tulisan yang jujur dan ikhlas dari hati membuatkan Mesin Cahaya Masa menjadi teman yang akan sentiasa bersama. 


Puisi di atas adalah salah satu yang aku suka terdapat di muka surat 58, Mesin Cahaya Masa bertajuk Good Things. Mesin Cahaya Masa bukan sekadar menghimpunkan puisi dalam Bahasa Melayu tetapi juga English. Bahasa hanyalah sebagai medium perantara yang penting isinya. Tapi aku suka kalau Wani Ardy terus menulis dalam pelbagai bahasa kerana secara tidak langsung menambahbaik vocabulary aku. 

Isi kandungan Mesin Cahaya Masa penuh dengan tentang kehidupan yang sebenarnya kita sendiri lalui. Cuma kita, manusia, selalu lupa dan tidak menghayati apa yang kita lalui setiap hari terutamanya dengan insan yang dekat dengan kita. Mesin Cahaya Masa dapat membuatkan kita rasa dan ingat semula apa yang kita lalui itu sebenarnya. 

Setiap buku ada bezanya. Ada kelebihan dan ada kekurangan. Terpulang kepada pembaca untuk menilai sendiri Mesin Cahaya Masa ini. Di bawah pula, aku kongsikan puisi bertajuk Peta di muka surat 8 Mesin Cahaya Masa.

Kau ada, kan?
Kau ada dekat-dekat sini, kan?
Jadi kenapa?
Jadi kenapa kau sembunyi-sembunyi?
Kau sangka kita hidup lama lagi?
Kau nampak, ini?
Kau nampak peta yang aku pegang ini?
Dah renyuk, dah naik lunyai aku usung ke sana ke mari
salah jalan
patah-patah balik
Payah sangat, kah?
Payah sangatkah utuk kau berdiri
keluar dari sebatian lautan ini
dan teriak :
"Oi! Akulah orangnya!
Akulah orangnya yang bakal kau jaga sampai tua!"
Kau tak bersuara pun tak apa.
Kau angkat tangan saja pun tak apa.
Kita cuma perlu bertentang mata,
sebelum peta terkoyak jadi dua.

Dah dua puisi Mesin Cahaya Masa aku kongsikan kat sini. Masih tak cukup? Mungkin baca sendiri dengan yang dilagukan oleh penulis tak sama. Oklah, last untuk Mesin Cahaya Masa. Di bawah ini pula, puisi yang dinyanyikan oleh Wani Ardy sendiri bertajuk Yang Hanya Tinggal Cinta dan Tinta.


Terima kasih Wani Ardy untuk coretan di Mesin Cahaya Masa. Terima kasih Selut Books untuk terbitan buku-buku yang berkualiti.

p/s : Untuk tahun 2015, kepada yang berminat untuk belajar menulis dan persembahan puisi bersama Wani Ardy (penulis Langit Vanilla dan Mesin Cahaya Masa) dan Fazleena Hishamuddin (penulis Seksi Ovari dan Bibir Ceri Melati), boleh menyertai #PondokPuisi dan membuat pendaftaran seperti poster di bawah. 


Sunday, August 24, 2014

Nami, Comradenami, Nomy Nozwir

Aku rasa ramai yang dah kenal nama di atas. Mungkin tak seluruh negara tapi golongan yang rajin membaca novel, blog, tumblr, The Malaysian Insider, dan media sosial majoritinya mungkin mengenali beliau. Aku tak pernah lagi menulis pasal penulis dan ini adalah pertama kali memandangkan Nami adalah salah seorang yang Dia cipta untuk membuka minat aku pada pembacaan. Next time aku akan cerita individu lain pula yang mula-mula mempengaruhi semula minat aku pada pembacaan. Sebenarnya ibubapa dan guru adalah insan yang pertama sejak dari lahir dan di sekolah telah lama berusaha untuk menarik minat aku untuk membaca cuma mungkin disebabkan sistem di negara ini menyebabkan minat membaca itu tidak sampai pada aku. Ibubapa dan guru tak salah pun.

Berbalik kepada insan yang lebih dikenali dengan panggilan Nami. Aku baru juga mengenali Nami ini. (aku yang kenal dia, dia tak kenal aku pun masa tu). Lebih kurang setahun macam tu la. Aku bukanlah Wikipedia untuk menceritakan siapa Nami ini secara fakta atau sumber kajian, tapi aku tulis pasal Nami sekadar mana yang aku kenal Nami daripada hasil karyanya.  Aku kenal dia disebabkan novel Lelaki Eksistensial terbitan Lejen Press. Aku baca buku ini disebabkan oleh sahabat aku bernama Md Ruzihan (Mat). Sejak Mat ini tahu aku dah mula minat membaca, dia pun suruh aku baca novel Lelaki Eksistensial ini. Pada mulanya, aku tanya Mat, kenapa aku harus baca novel? Sebab setahu aku novel Melayu tak habis-habis pasal cinta, cinta tiga segi dan sangat klise. Paling lejen pun yang aku pernah baca dulu adalah Lagenda Budak Setan. Ok, kalau nak diikutkan semua novel klise, sama juga macam Nami. Tapi Nami berjaya menyelitkan terma-terma ilmiah serta intelek dan Nami menjadikan klise itu luar biasa. Sebab itu aku tertarik dengan tulisan Nami. 


Sebagai contoh, novel Lelaki Eksistensial ini mengisahkan tentang seorang yang tidak dinyatakan namanya, seorang kasanova dengan kekasih-kekasihnya. Ciri-ciri kekasihnya berbeza antara satu sama lain tetapi menjurus kepada seorang gadis-gadis di zaman persekolahannya yang menolak cintanya dulu. Mereka bertemu kembali lalu mencetus banyak persoalan eksistensial dalam diri.

Setelah membaca novel Lelaki Eksistensial, aku mula mencari semua tulisan-tulisan Nami dengan bantuan Mat dan Google. Di antara novel-novel Nami yang telah aku baca adalah Awek Chuck Taylor (best sellers) Rokok Nan Sebatang, Bayang, Bau Semangat Anak Muda, Pengejar Bintang, Diorama Eksisten dan yang terbaru adalah Enam Darjah (Gabungan semua novel di atas tadi). Selain itu juga, Nami ada menulis cerpen dalam Main Gila, tulisan berganding dengan Aisa Linglung dalam Dendam Anak Jagoan dan tulisan berkenaan bola sepak dalam Muslimeen United. Mungkin ada lagi buku lain yang Nami tulisa tapi aku tak tahu. 

Selain daripada novel, Nami yang aku kenal sangat aktif dengan tumblr Teh Tarik Gelas Besar. Tulisan di Teh Tarik Gelas Besar lebih kepada kisah hidup dan pandangan peribadi Nami. Terdapat juga tulisan-tulisan Nami yang masih belum dibukukan sebagai novel sebagai contoh Komrad Cinta, Rondes, Diari Seorang Diktator dan mungkin ada juga yang aku pun tak baca lagi.

Nami seorang yang kritis pada perkara-perkara mainsteam dalam isu semasa yang berlaku di negara kita. Sebagai contoh, anda boleh baca di The Malaysian Insider bertajuk 'Melayu dan DNA Babi'. Nami membuatkan minda aku tidak tertumpu kepada satu pandangan sahaja. Banyak lagi pandangan menarik oleh Nami di The Malaysian Insider yang boleh anda semua baca.

Kepada yang gemar media sosial dan malas membaca, kalau anda ingin mengenali Nami, anda boleh follow Nami di Twitter @comradenami. Facebook pula di sini. Macam aku beritahu awal tadi, aku bukan Wikipedia. Jadi, apa yang aku tulis pasal Nami ini adalah pandangan peribadi aku secara peribadi. Aku pernah nampak Nami ni beberapa kali juga, cuma macam aku bagitahu awal tadi, dulu-dulu aku je yang kenal Nami, Nami mana kenal aku. Kah Kah Kah! Terus terang aku katakan, aku hanya pernah berborak betul-betul dengan Nami secara berdepan hanya sekali sahaja di kedai mamak Pandan Indah, tu pun nasib baik ada Mat. Masa tu, aku rasa aku hanya berborak kosong saja dengan Nami, mungkin kerana baru kenal. Antara perkara yang aku masih ingat kami bualkan adalah pasal Rondes, Enam Darjah, teater Awek Chuck Taylor dan minah bernama Mariam ke apa entah (Yang ni aku tak faham sebab masa kejadian tu aku masih belum kenal Nami). 

Bila dah lama follow Nami kat twitter, aku rasa walaupun ada satu dua perkara yang aku tak bersetuju dengan Nami berkenaan isu semasa, namun aku rasa aku dapat mencari titik persamaan. Walaupun mungkin ada perkara yang aku tak setuju 'on the spot' tapi ia semua bergantung pada proses dan masa. Sama macam kisah Nami dengan Mariam ke entah siapa entah namanya itu. Aku respect bila Nami membuat permohonan maaf secara terbuka di The Malaysian Insider walaupun tiada arahan daripada mahkamah (macam kes Nurul Izzah nak kena tunggu arahan mahkamah baru nak minta maaf). Mungkin ketika kejadian tidak sependapat dengan Mariam ke entah siapa entah namanya itu, Nami tidak dapat menerima kritikan daripada perempuan itu tapi setelah sekian lama, Nami dengan ikhlas hati meminta maaf kepadanya. (Maaf jika apa yang aku tulis ini entah apa-apa sebab aku pun sebenarnya tak pasti punca perselisihan pendapat mereka berdua ini)

Aku harap, suatu hari nanti aku akan dapat berbual isu semasa dengan Nami kerana aku rasa Nami seorang yang sangat rajin membaca dan tinggi intelektualnya. Walaupun ada beberapa perkara berkaitan dengan agama dan politik yang aku tidak sependapat dengan Nami tapi aku masih dapat menerima pandangan Nami selagi perkara itu tidak bertentangan dengan agama. Aku percaya yang setiap kejadian yang berlaku dalam dunia ini sentiasa ada dua atau lebih pendapat. Sebab itulah dalam surah Al Fatihah yang kita baca berulang-ulang kali ada menyebut, 'Tunjukkanlah aku jalan yang lurus'. Bila kita mohon petunjuk, bermakna kita sentiasa perlu membuat pilihan cuma yang mana benar, hanya Dia yang Maha Mengetahui. Wallahualam.

Friday, February 14, 2014

Bibir Ceri Melati oleh Fazleena Hishamuddin


SAHABAT

Sahabat
tak perlu ada
tapi ada bila perlu ada

Sahabat
tak perlu puji-pujian
tapi ikhlas beri kritikan

Sahabat
tak perlu terlalu memahami
tapi sentiasa menghormati

Sahabat
tak perlu selalu dekat
tapi dijiwa sentiasa ingat

Sahabat
yang selalu mengerti
hanya dengan lirikan mata dan rasa hati
tanpa perlu rayuan dan kata sakti

Nasi Kandar Kayu Kota Damansara
Oktober 2013
(m/s 162)


Puisi di atas adalah salah satu puisi yang terdapat di dalam buku Bibir Ceri Melati ditulis oleh Fazleena Hishamuddin iaitu penulis buku Seksi Ovari. Buku ini baru sahaja dilancarkan oleh penulis pada 8 Februari 2014 di Red Bungalow, KLCC. Bibir Ceri Melati adalah buku kedua yang ditulis oleh Fazleena Hishamuddin yang berisikan cerpen dan puisi.

Pandangan aku, Bibir Ceri Melati mengandungi cerpen yang sangat menarik dengan kisah-kisah kehidupan di sekeliling kita. Kebanyakkan cerpen yang ditulis oleh Fazleena di dalam Bibir Ceri Melati adalah kisah yang tidak diambil berat oleh masyarakat kita sedangkan kisah ini berlaku di dalam masyarakat. Mungkin sebahagian daripada cerpen yang terkandung di dalam Bibir Ceri Melati adalah kisah sebenar yang pernah dilalui oleh penulis ini sendiri. Bermula dengan cerpen yang bertajuk Bibir Ceri Melati sehingga cerpen yang bertajuk Stesyen Berikutnya membuatkan pembaca tidak mahu berhenti membaca kisah-kisah kehidupan di dalam Bibir Ceri Melati ini. Daripada 30 tajuk, cerpen yang paling aku suka adalah Kapal Kertas (m/s 91-99). Kalau anda juga suka pada Kapal Kertas, anda boleh cari Short Film untuk Kapal Kertas ini di YouTube yang dilakonkan oleh penulis Bibir Ceri Melati ini sendiri. Terima kasih kak adeq!

Bagi puisi pula, Bibir Ceri Melati mengandungi puisi-puisi yang lebih matang berbanding Seksi Ovari. Bukan niat untuk membandingkan tetapi Bibir Ceri Melati dan Seksi Ovari mempunyai kekuatan yang tersendiri. Bibir Ceri Melati mengandungi puisi-puisi yang matang, berunsur nasihat dan mengajak kita untuk muhasabah diri manakala Seksi Ovari lebih keperempuanan. Daripada 37 buah puisi, puisi yang paling aku suka dalam Bibir Ceri Melati adalah Nota Buat Suami (m/s 151-152). Aku berharap, suatu hari nanti, bakal isteri aku dapat membacakan puisi itu kepada aku. (Mood jiwang

Bagi sesiapa yang tak berkesempatan untuk mendengar Fazleena Hishamuddin berpuisi untuk Bibir Ceri Melati, anda bolehlah mendengarnya di bawah ini.

1. Siapa Yang Engkau Cari



Semoga Fazleena Hishamuddin terus menulis dan berkarya. Terima kasih untuk Seksi Ovari dan Bibir Ceri Melati.



Tuesday, November 26, 2013

Kita Semua Masih di Sini oleh Fazleena Hishamuddin

Lately aku layan puisi-puisi Fazleena Hishamuddin ni iaitu penulis Seksi Ovari. Mungkin sebab susah nak dapat dan dengar. Yang dah ada dalam Seksi Ovari dan habis dikhadam. Baca dan dengar apa yang ditulis memang tak sama. Sama macam kalau kita baca novel dengan tengok drama adaptasi novel. Mana sama. Lagi satu, puisi-puisi Fazleena Hishamuddin yang aku post ni, kalau tak silap aku takde pun dalam Seksi Ovari. Susah nak dapat. Jadi tak salah kot nak berkongsi. Lagipun, masa Pasar Boco 9, Fazleena Hishamuddin ada bagitau, mungkin nak keluarkan next buku. Mungkin apa yang beliau sampaikan ni, akan diterjemahkan dalam buku pula. Jadi, bolehlah kalau nak ambil feel dulu.

Manusia akan suka pada orang atau perkara yang ada kena mengena dengan dirinya. Apa yang membuatkan aku semakin suka pada puisi Fazleena Hishamuddin ni atau lebih dikenali dengan nama Kak Adeq oleh rakan-rakan beliau, adalah disebabkan 'kawan lama' aku Zarina adalah kawan beliau. Aku sama je dengan manusia lain kerna aku adalah manusia. Jadi, aku selesa dan suka pada perkara yang ada kena mengena dengan diri aku. Tak sangka, kecil benar dunia ni. 

Berbalik kepada tajuk puisi 'Kita Semua Masih di Sini'. Isinya sangat deep. Sesuai untuk para pejuang yang telah meninggalkan kita demi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Kalau aku Perdana Menteri, pasti aku akan minta Kak Adeq mendendangkan puisi ini pada hari kemerdekaan negara kita. Cuba dengar isinya. Mungkin ada lagi manusia lain di luar sana yang boleh tulis dengan lebih hebat. Cuma setakat ini, 'Kita Semua Masih di Sini' oleh Fazleena Hishamuddin yang nampak hebat oleh kaca mata aku, dan bunyi hebat oleh corong telinga aku. Terima kasih Fazleena Hishamuddin.



Nanti, ada kelapangan, aku upload pula apa yang disampaikan oleh penulis Langit Vanilla, Wani Ardy masa Eksotikata haritu. 

Sunday, November 24, 2013

Sederhana oleh Fazleena Hishamuddin


Semalam tanggal 23 November 2013, aku buat pertama kalinya menjejakkan kaki di Rumah Pena untuk event Eksotikata. Siap sesat lagi nak tiba ke Rumah Pena ni. Tapi tak mengapa kerna berbaloi. Rupanya Eksotikata ni pun baru first time. 

Aku ni bukannya penulis puisi, bukan juga buku bahkan pula penyanyi. Tapi aku cuma pengunjung gerai yang menjual buku, dan tempat yang boleh aku dengar dan melihat seni. Pandangan aku, Eksotikata ini konsepnya adalah sama seperti Pasar Boco. Jika sesiapa yang pernah mengunjungi Pasar Boco akan faham konsep Eksotikata.

Cuma apa yang aku nak tulis pasal puisi yang disampaikan oleh Fazleena Hishamuddin atau mungkin lebih dikenali dengan penulis buku Seksi Ovari. Seni itu subjektif. Mungkin kaedah penyampaian puisi oleh Fazleena Hishamuddin bertajuk Sederhana membuatkan aku semakin suka pada puisi. Isinya, melodinya, dan susunatur ayatnya membuatkan aku jatuh cinta pada puisi. 

Apapun, aku tetap berterima kasih kepada Wani Ardy sebab bermulanya muzik, tulisan diblog, dan buku Langit Vanilla beliau membuatkan aku semakin tertarik kepada seni. Terima kasih. Kat bawah ni adalah puisi Sederhana oleh Fazleena Hishamuddin. Maaf kerna kualiti video kurang memuaskan. Yang hendak didengar adalah isinya. :)


Tuesday, July 30, 2013

Seksi Ovari oleh Fazleena Hishamuddin


Belajar

Agaknya bila saya dah pergi nanti
baru awak nak belajar ambil hati?

(m/s 36)

- Fazleena Hishamuddin -

Ringkas, padat dan penuh bermakna. Begitulah yang dapat aku gambarkan setelah separuh daripada himpunan puisi yang telah dibaca. Pandangan aku sendiri, jika anda ingin mengenali isi hati seorang perempuan, bolehlah anda membeli Seksi Ovari ini. Puisinya penuh dengan keikhlasan menggambarkan apa yang sering bermain di dalam hati seorang perempuan. Puisi yang ditulis oleh Fazleena Hishamuddin sangat mendalam maksudnya tetapi boleh dihayati.

Aku bukanlah seorang seniman yang minat pada puisi tapi setelah mula membaca Langit Vanilla yang tulis oleh Wani Ardy, minat aku pada puisi ini semakin mendalam. Terima kasih kepada Wani Ardy sebab beliau pencetus minat aku pada puisi. 

Mungkin ada yang berkata, puisi membosankan dan sukar difahami. Aku berkata begitu kerana itulah yang aku gambarkan puisi ini suatu ketika dahulu. Tapi, jika anda suka menghayati sesuatu tulisan, atau suka read between the line, anda pasti akan meminati puisi.


Kulit buku Seksi Ovari ini sahaja telah menarik minat untuk aku baca isi bukunya. Teringat aku pada muka buku Langit Vanilla;

KAU MEMANG MALAS BACA BUKU, KAN? KAU LIHAT MUKA DEPANNYA SAJA. KAU INGAT KALAU AKU CERAIKAN ISI BUKU DENGAN KULIT LUARNYA, DAN AKU JUAL, MANA YANG LEBIH MAHAL? 

KAU NAK BELI KULIT?

TOLOL..

Nak dengar puisi yang Fazleena baca :

1. Sederhana
2. Kita Semua Masih di Sini
3. Yang Nama Mama

Update :
Sila klik Bibir Ceri Melati untuk buku baru yang ditulis oleh Fazleena Hishamuddin.

Tuesday, February 26, 2013

Sepuluh Ribu - Penyunting WNRD


Lagi sekali Wani Ardy membuatkan aku ingin terus menulis walaupun aku tidak pandai menulis. Baru baca 'Cerpen Untuk Fasyali' sudah membuatkan aku ingin menulis walaupun aku tidak pandai menulis. Kenapa? Aku pun tidak tahu. 

Apa yang pasti, apabila menulis aku akan lebih mengenali diri aku. Kenapa? Sebab aku akan menyindir diri aku. Bila diri aku disindir, aku akan ingat akan kesilapan aku. 

'Cerpen Untuk Fasyali', aku pun tidak pasti siapakah penulis yang sebenarnya. Adakah Fasyali sendiri ataupun Zara? Walau siapa pun yang menulis, walau siapa pun yang ditulis, kedua-duanya saling bergantungan untuk menjadikan cerpen yang sangat menarik. 

Sebelum ini aku ada menulis review untuk Langit Vanilla, kali ini suntingan Wani Ardy untuk Sebuah Antologi SEPULUH RIBU berjaya lagi menawan hati aku untuk membaca dan berkongsi. Daripada 10 keping gambar telah menghasilkan 10 cerita yang sangat menguja. 

Semoga Wani Ardy terus menulis dan terus berkongsi ilmu yang ada. 

Sunday, March 25, 2012

Buku Langit Vanilla oleh Wani Ardy


Orang Bodoh, Orang Belajar, Orang

Saya bodoh, sebab itu saya belajar. Semua yang saya tulis selama ini adalah untuk mengingatkan diri sendiri, bukan untuk berceramah atau membetulkan siapa-siapa. Lagipun siapa saya untuk berbuat begitu? Saya bukan orang alim, ahli falsafah, ataupun sasterawati negara. Sampai mati pun saya tetap orang bodoh yang perlu menjadi orang belajar. Hari saya berhenti menjadi dua jenis orang ini adalah hari saya menjadi orang bangga. Dan itu tidak boleh terjadi!

Tulisan di atas adalah salah satu penulisan Wani Ardy yang terkandung di dalam Langit Vanilla pada muka surat 62. Aku bukanlah seorang peminat karya-karya sastera ini. Aku juga bukanlah seorang sasterawan yang sangat memahami bahasa yang tinggi. Namun, disebabkan Wani Ardy, minat aku terhadap karya-karya seperti ini bertambah. Dalam penulisan Langit Vanilla, tajuk 'Orang Bodoh, Orang Belajar, Orang' adalah penulisan yang ringkas dan mempunyai maksud yang mendalam dan boleh dijadikan pengajaran. Banyak lagi tulisan-tulisan yang menarik terdapat di dalam Langit Vanilla. Tajuk lain yang aku minat adalah 'Tolol', 'Satu Nafsu Sial', 'Ini Jodoh, Bodoh', 'Pengemis Persahabatan', 'Balang', 'Tak Boleh', 'Sasar', dan banyak lagi. 

Aku rasa sangat berbaloi membaca Langit Vanilla. Bermula dari kulit luarnya, sehingga isi bukunya. Terima kasih Wani Ardy.



Update :

Sila klik Mesin Cahaya Masa untuk buku baru yang ditulis oleh Wani Ardy.