Friday, February 14, 2014

Bibir Ceri Melati oleh Fazleena Hishamuddin


SAHABAT

Sahabat
tak perlu ada
tapi ada bila perlu ada

Sahabat
tak perlu puji-pujian
tapi ikhlas beri kritikan

Sahabat
tak perlu terlalu memahami
tapi sentiasa menghormati

Sahabat
tak perlu selalu dekat
tapi dijiwa sentiasa ingat

Sahabat
yang selalu mengerti
hanya dengan lirikan mata dan rasa hati
tanpa perlu rayuan dan kata sakti

Nasi Kandar Kayu Kota Damansara
Oktober 2013
(m/s 162)


Puisi di atas adalah salah satu puisi yang terdapat di dalam buku Bibir Ceri Melati ditulis oleh Fazleena Hishamuddin iaitu penulis buku Seksi Ovari. Buku ini baru sahaja dilancarkan oleh penulis pada 8 Februari 2014 di Red Bungalow, KLCC. Bibir Ceri Melati adalah buku kedua yang ditulis oleh Fazleena Hishamuddin yang berisikan cerpen dan puisi.

Pandangan aku, Bibir Ceri Melati mengandungi cerpen yang sangat menarik dengan kisah-kisah kehidupan di sekeliling kita. Kebanyakkan cerpen yang ditulis oleh Fazleena di dalam Bibir Ceri Melati adalah kisah yang tidak diambil berat oleh masyarakat kita sedangkan kisah ini berlaku di dalam masyarakat. Mungkin sebahagian daripada cerpen yang terkandung di dalam Bibir Ceri Melati adalah kisah sebenar yang pernah dilalui oleh penulis ini sendiri. Bermula dengan cerpen yang bertajuk Bibir Ceri Melati sehingga cerpen yang bertajuk Stesyen Berikutnya membuatkan pembaca tidak mahu berhenti membaca kisah-kisah kehidupan di dalam Bibir Ceri Melati ini. Daripada 30 tajuk, cerpen yang paling aku suka adalah Kapal Kertas (m/s 91-99). Kalau anda juga suka pada Kapal Kertas, anda boleh cari Short Film untuk Kapal Kertas ini di YouTube yang dilakonkan oleh penulis Bibir Ceri Melati ini sendiri. Terima kasih kak adeq!

Bagi puisi pula, Bibir Ceri Melati mengandungi puisi-puisi yang lebih matang berbanding Seksi Ovari. Bukan niat untuk membandingkan tetapi Bibir Ceri Melati dan Seksi Ovari mempunyai kekuatan yang tersendiri. Bibir Ceri Melati mengandungi puisi-puisi yang matang, berunsur nasihat dan mengajak kita untuk muhasabah diri manakala Seksi Ovari lebih keperempuanan. Daripada 37 buah puisi, puisi yang paling aku suka dalam Bibir Ceri Melati adalah Nota Buat Suami (m/s 151-152). Aku berharap, suatu hari nanti, bakal isteri aku dapat membacakan puisi itu kepada aku. (Mood jiwang

Bagi sesiapa yang tak berkesempatan untuk mendengar Fazleena Hishamuddin berpuisi untuk Bibir Ceri Melati, anda bolehlah mendengarnya di bawah ini.

1. Siapa Yang Engkau Cari



Semoga Fazleena Hishamuddin terus menulis dan berkarya. Terima kasih untuk Seksi Ovari dan Bibir Ceri Melati.



2 comments:

pahlawan armorikus said...

Tentang Teman Lama


semalam aku menelefon

seorang teman lama

cuba berkongsi rasa

dan sekadar bertanya khabar

tapi nadanya datar

ketawanya tidak lagi segar

mungkin kerana dia seorang teman lama..

mungkin banyak kisah..

dia dah terlupa..

atau sepatutnya..

dia kini menjadi teman baru..

kerana dia bukan lagi

teman yang ku kenal dulu...

lilacismycolour.blogspot.com

fazleena said...

Terimakasih Badrul. Lama tak ketemu. Moga sehat selalu :)