Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Friday, February 20, 2015

Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat


(sumber gambar dari Twitter)

Belum pernah aku rasa sedih di atas pemergian ahli politik. Ini adalah kali pertama aku rasakannya. Aku tidak pasti kenapa tapi aku rasa.

Sebenarnya minggu lepas (seminggu sebelum Tuan Guru meninggal dunia) aku berkata-kata di dalam hati untuk cuba bertemu dengan Tuan Guru tapi DIA lebih menyayangi Tuan Guru. Satu kerugian buat diri aku kerana tidak berpeluang langsung untuk mendengar ceramah, bertemu muka, berkata-kata, bersalaman dengan Tuan Guru. Sungguh.

Aku pun tak pasti berapa lama lagi peluang aku untuk meminjam semua di dunia ini. Mungkin esok, lusa, aku pun tak pasti. Cuma yang pasti, kehilangan Tuan Guru membuatkan aku lebih memikirkan kehidupan selepas dunia. 


(sumber gambar dari Twitter)

Terlalu banyak dosa. Terlalu daif dengan pahala. Terlalu lalai dengan dunia. Hanya DIA Yang Maha Mengetahui segalanya. Aku cuma mampu menyesali di atas semua perbuatan itu. Aku cuma mampu berharap DIA akan mengampunkan segala salah aku.

Pulangnya Tuan Guru membuatkan hilangnya pejuang Islam yang istiqamah. Seorang yang sangat memikirkan rakyatnya. Seorang pemimpin yang harus diikuti dan diteladani. Sangat merendah diri. Sangat kuat dalam menegakkan hukum Tuhan. Hanya DIA Yang Maha Mengetahui sejauh mana bersungguhnya Tuan Guru memperjuangkan Islam.

Malam Jumaat. Sungguh bertuahnya Tuan Guru. Walau pilu, namun doa aku dan seluruh umat Islam di negara ini, dan di luar sana, tidak putus buat Tuan Guru. Semoga Tuan Guru di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin ya rabbal alamin.

23 Rabiul Akhir 1436H
12 February 2015

Sunday, December 22, 2013

Yang Nama Mama oleh Fazleena Hishamuddin


Malan tadi, tanggal 21 Disember 2013, telah diadakan event Suara Kuala Lumpur, Festival Akuastika & Puisi 2013 bertempat di Perpustakaan Kuala Lumpur. This is the first time aku datang event Suara Kuala Lumpur ni. Itu pun sebab ada Fazleena Hishamuddin. Haha! Walaupun hujan, aku redah sebab aku tahu karyanya memang berbaloi untuk didodoikan di halwa telinga aku ini. Kepada yang tak kenal siapa Fazleena Hishamuddin, beliau adalah penulis buku Seksi Ovari yang sudah semakin popular. Kepada yang dah pernah baca pasal Seksi Ovari, korang perlu dengar Sederhana dan Kita Semua Masih di Sini, kedua-duanya adalah tulisan Fazleen Hishamuddin yang tiada dalam Seksi Ovari. 

Suara Kuala Lumpur ini mempersembahkan pemuisi-pemuisi yang hebat-hebat untuk berpuisi di hadapan kita semua. Mereka ini semua sangat cintakan seni dan ingin berkongsi bersama kita. Mungkin ada yang berpendapat, puisi ini membosankan kerana tiada yang menyeronokkan dan bahasanya sukar difahami. Tapi anda silap kerana pemuisi-pemuisi sekarang sangat kreatif dan bagi memastikan anak muda dan semua golongan tidak melupakan seni puisi, mereka melakukan pelbagai perkara bagi memastikan puisi yang dibaca itu menarik. 

Aku bukanlah peminat puisi pada asalnya, aku cuma sekadar meminat lagu-lagu yang ditulis oleh Wani Ardy iaitu penulis buku Langit Vanilla. Tapi lama kelamaan, dari bahasa, susunatur kata dan isinya setiap penulisan Wani Ardy ini membuatkan aku semakin tertarik pada puisi. Kini, muncul seorang lagi pemuisi yang tulisannya sangat sama selera dengan otak aku untuk menghadam segala tulisannya iaitu Fazleena Hishamuddin. Dari Seksi Ovari aku meminati tulisan beliau, dan kini semakin banyak lagi puisi-puisi baru yang telah ditulis terus dapat menarik minat aku kepada puisi. Tulisan beliau semakin lama semakin matang dan tidak tertumpu pada kisah wanita sahaja. Terima kasih Fazleena Hishamuddin. Katanya semalam, tak lama lagi Bibir Ceri Melati pula akan keluar. Sama-sama kita tunggu. Last kali, kat bawah ni lagi satu puisi baru oleh Fazleena Hishamuddin yang bertajuk, Yang Nama Mama.


Tuesday, December 17, 2013

Felixia Yeap

Past. Present. Future by Felixia Yeap.


Cuba anda baca posting Felixia Yeap ni. Siapa Felixia Yeap ni, korang boleh Google. Aku bukan nak bercerita siapakah beliau. Cuma, aku sekadar ingin berkongsi apa di dalam fikiran aku selepas dari apa yang aku baca tentang luahan hati Felixia Yeap ni.

Kenapa begitu sensitif?
Aku bukan maksudkan Felixia Yeap tapi aku maksudkan bangsa Melayu yang dilahirkan beragama Islam ni. Ya kita perlu sensitif apabila ia melibatkan agama kita. Cuma, cuba kita fikirkan balik, Felixia Yeap ni bukannya beragama Islam (ketika aku menulis ini) tapi dalam proses ingin mengenali Islam setelah beliau cuba mengenakan hijab. Dia tak tahu hukum hakam agama Islam ni. Jadi, mungkin dia tak faham akan kenapa perlunya dia membuang /delete gambar dia yang sexy itu. Kita perlu memainkan peranan kita sebagai umat Islam dengan menasihatkan beliau berkali-kali walaupun sejuta kali kerana dia bukan Islam. Hidayah itu milik Nya.

Apa yang sangat kita risaukan adalah apabila orang lain melihat Facebook dan blog Felixia Yeap ini, orang akan judge Islam itu tak yang tidak baik kerana gambar-gambar yang dipaparkan. Adakah kita juga nak jadi seperti mereka yang islam phobia iaitu judge Islam dengan hanya melihat luarannya sahaja tanpa mengkaji dan mencari? Lagi sekali aku ingatkan, Felixia Yeap masih belum beragama Islam ketika aku menulis ini.

Apa niat Felixia Yeap?
Mesti soalan ini juga bermain difikiran anda. Sama seperti aku. Cuma setelah berfikir lama, aku teringat kata-kata Wani Ardy ketika di Eksotikata yang bermaksud lebih kurang macam ni, "Hati aku, adalah hatiku. Hanya aku dan Tuhan yang tahu bukan kamu." Maafkan aku Wani Ardy jika tak betul pemahaman aku. Jadi, kita tak tahu apa disebalik niat di hati Felixia Yeap ini mengenakan hijab. Yang penting, kita harus bimbing dia bukan keji. 

Lagi pun, siapa kita untuk hukum Felixia Yeap ini. Kita bukan Tuhan. Malah diri kita dengan Tuhan pun tak elok, inikan pula kita nak jadi Tuhan untuk hukum Felixia Yeap ini?

Usaha, doa & tawakal.
Jika niat kita ikhlas nak bantu Felixia Yeap ini untuk faham Islam, jangan sesekali kita keji dia. Kita berusaha untuk bimbing dia ke jalan yang benar. Kita doakan dia mendapat hidayah dari Nya. Setelah itu, kita tawakal je kepada Nya kerana semuanya telah di tentukan oleh Nya. 

Aku sedar yang aku ini bukanlah arif pasal agama dan hukum hakam. Cuma, atas dasar kemanusiaan sesama insan, aku rasa aku perlu berkongsi apa yang berada di dalam fikiranku ini. Jika ada salah dan silap, sila tegur aku. Aku insan yang sentiasa dalam proses pembelajaran. 

Aku beri contoh apabila kita hendak membeli buah durian atau lain-lain buah buahan. Sukar untuk kita jangka kan adakah buah yang hendak dibeli sedap atau tidak kerana isinya tersembunyi disebalik kulit buah itu. Jadi, kita perlu cari dengan cara menghidu, merasa, dan pelbagai cara lagi. Adakalanya, kita tetap tersalah pilih buah yang tak sedap walaupun kita telah cuba menghidu. Kenapa? Sebab kita perlu sentiasa mencari dan dalam proses pencarian itu, pasti berlaku kesilapan. 

Sunday, June 23, 2013

Masa

Surah Al-'Asr (Ayat 1-3), bermaksud :

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman & beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".

Sebenarnya 24 jam sehari adalah mencukupi untuk kita semua, cuma kita yang tidak pandai untuk membahagikan masa tersebut. Disebabkan tidak pandai untuk membahagikan masa menyebabkan aku sekian lama juga tidak update blog ini walaupun dalam fikiran ini sentiasa bermain-main pelbagai perkara untuk dikongsikan bersama. Begitu banyak yang bermain difikiran aku untuk dikongsikan bersama tapi disebabkan setiap kali hendak menulis, menaip, laptop aku tertutup. Mungkin aku masih tidak berani untuk mencuba update blog di IPad ataupun di handphone menyebabkan kurangnya update.

Berbalik kepada tajuk. Pernahkah kita fikir untuk balik kepada fundamental? Maksud aku, buat jadual seperti kanak-kanak sekolah rendah yang mempunyai jadual waktu mereka supaya aku dapat menyelesaikan perkara-perkara yang hendak aku lakukan pada setiap hari. Mungkin itu cara terbaik untuk memastikan aku melaksanakan tugasan harian aku dengan lebih baik. Semakin dewasa manusia ini, semakin hebat mereka rasakan diri mereka termasuk aku sendiri. Kadangkala, aku rasa aku tidak perlukan jadual waktu kerana aku sudah terlalu dewasa dan rasa terlalu bijak untuk membuat pilihan dalam menjalani kehidupan harian aku. Tapi aku silap sebab hidup tanpa sistem pasti terumbang ambing. 

Image dari Google

Walaubagaimana pun, aku sangat tidak suka hidup aku ini di'sistem'kan oleh orang lain. Biar bagaimana susah pun aku, bagaimana terumbang ambing pun aku, aku hanya mahu aku yang sistem kan diri aku ini. Manusia ini terlalu di 'sistem' kan menyebabkan perkembangan minda mereka terbantut. Pernahkah kita terfikir, kenapa anak remaja selalu membuang masa? Pandangan aku adalah disebabkan masa mereka di'sistem'kan. Apabila masa mereka di'sistem'kan atau disekat, ini menyebabkan mereka memberontak dan lebih gemar untuk membuang masa. 

Biarkan mereka yang menjadualkan masa mereka sendiri. Kita sebagai yang lebih dewasa sepatutnya membimbing dan menasihatkan mereka ini sahaja. Jangan acuankan mereka ikut kehendak kita kerana kita bukan Tuhan untuk membentuk mereka. 

Apabila sampai suatu masa, mereka ini sendiri aku lebih bijak menguruskan masa mereka sendiri sekiranya mereka didik sedemikian rupa. Manusia akan lebih menghargai sesuatu apabila mereka menghayati apa yang mereka lakukan termasuk masa. Maksud aku, sekiranya manusia ini menghayati nilai masa itu dengan diri mereka sendiri, sudahpasti mereka akan menghargai setiap saat dan detik yang telah diberikan.

Tajuk aku masa adalah disebabkan aku rasa aku gagal untuk membahagikan masa aku dengan sebaik-baiknya untuk bekerja, membaca, bersukan, menonton, bersosial, travel dan banyak lagi. Semoga tulisan ini dapat menjadikan aku seorang insan yang bijak menguruskan masa selepas ini.

Friday, August 31, 2012

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 55 Malaysia


Hari ini, tanggal 31 Ogos 2012 merupakan ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke 55. Bersyukur kerana negara Malaysia masih merdeka dari dijajah oleh mana-mana negara lain. Tahun ini merupakan tahun bersejarah di negara Malaysia kerana terdapat tema sambutan kemerdekaan yang berbeza daripada negeri-negeri yang diperintah oleh parti Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Kenapa perkara ini harus berlaku di negara kita? Tidakkah ini menunjukkan negara kita tidak bersatu walaupun tidak dijajah oleh negara lain? Kita adalah negara Malaysia bukan negara Barisan Nasional ataupun negara Pakatan Rakyat. 

Aku bukanlah seorang ahli politik, aku juga bukanlah seorang wakil rakyat malah aku juga bukan pentadbir negara ini. Aku adalah rakyat Malaysia yang cintakan negara Malaysia. Kenapa pemimpin-pemimpin tidak boleh menolak fahaman politik buat seketika bagi menyambut ulangtahun kemerdekaan? Aku suka apa yang ditulis oleh Wani Ardy dalam Langit Vanilla, muka surat 139.

Jangan biar ideologi pisahkan kita. Biar semua ada pemikiran masing-masing. Lebih baik berfikir dari tidak berfikir. Dalam berkawan, kawan itu kita tidak ambil badannya saja. Kita ambil mindanya juga; seluruhnya dia. Jangan anggap kawan kita tidak boleh berfikir. Terima perbezaan dan berhenti menyuruh dia menyebelahi sesuatu pihak.

Sama-sama kita renungkan. 

Dan video oleh Mat Lutfi dan Malaysian pada tahun lepas boleh dijadikan pengajaran dan renungan buat kita semua. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 55 Malaysia.





Wednesday, August 29, 2012

Amalan duit raya


Setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, di antara perkara yang sentiasa difikirkan oleh semua orang adalah duit raya. Tidak kira ibubapa, anak-anak, dan saudara mara, baik semua yang menyambut perayaan ini, sudah pasti akan memikirkan duit raya. Ibubapa akan memikirkan berapa banyak duit raya yang hendak diberikan kepada anak-anak mereka, kanak-kanak yang datang ke rumah dan anak-anak buah mereka. Manakala, anak-anak dan kanak-kanak pula akan sibuk memikirkan berapa banyak duit raya yang bakal mereka terima daripada ibubapa mereka dan rumah yang mereka kunjungi.

Pernahkah kita terfikir, kenapa kita berikan duit raya ini? Adakah sebab ganjaran untuk anak-anak yang berpuasa? Adakah sebab hendak menunjuk-nunjuk kemampuan kita memberikan duit raya? Semua itu hanya diri kita sendiri dan Allah sahaja yang mengetahuinya.


Pada pandangan aku, kenapakah perlu memberi duit raya?

BERSEDEKAH - Niat bersedekah adalah yang terbaik untuk memberikan duit raya kepada kanak-kanak. Walaubagaimana pun, seeloknya bersedekah ini dilakukan pada bulan Ramadhan kerana perbuatan bersedekah di bulan Ramadhan akan dilipat kali gandakan amalan tersebut. Sekiranya mempunyai wang yang lebih untuk bersedekah di bulan Syawal, barulah seeloknya kita memberikan duit raya ini dengan niat bersedekah.

AMALAN - Sudah menjadi amalan turun temurun keluarga memberikan duit raya kepada sanak saudara dan kanak-kanak yang datang ke rumah bagi menggembirakan tetamu yang hadir.

MENGGALAKKAN ANAK BERPUASA - Salah satu cara untuk menggalakkan anak-anak berpuasa adalah dengan memberikan duit raya. Walaubagaimana pun, kita sebenarnya tidak seharusnya mengajar anak-anak kita dengan kaedah ini kerana seharusnya kita mendidik anak-anak kita untuk berpuasa kerana Allah bukan kerana ganjaran duit raya. Mungkin mudah bagi aku untuk menulis di sini kerana aku masih belum mempunyai anak tetapi aku sentiasa mengingatkan diri aku ini. 

Percayakah kita yang anak-anak boleh dibentuk sahsiahnya jika betul didikan kepada mereka? Aku percaya kerana anak-anak hatinya masih suci ibarat kain putih. Jika sejak mereka kecil lagi kita menerapkan didikan agama yang cukup, insyAllah dengan izin dari-Nya, mereka akan menjadi anak-anak yang soleh. Biarpun susah untuk menerangkan sesuatu yang tidak dilihat dengan mata anak-anak ketika mereka masih kecil tetapi mereka pasti boleh menerima apa yang dijelaskan oleh ibubapa mereka. Oleh itu, kita perlulah sentiasa menambah ilmu agama di dalam diri kita supaya dapat kita menyampaikan di antara satu sama lain. Waalahualam.

Tuesday, June 5, 2012

Berbelanja

Cerita ini adalah rekaan semata-mata tiada kena mengena dengan yang masih hidup ataupun telah mati. Aku menulis cerita ini untuk kita renungkan bersama kisah sebuah keluarga ini. Semoga dengan kisah keluarga ini dapat kita membuka sedikit minda kita supaya tidak terkongkong dengan sesuatu yang duniawi.

Mengisahkan sebuah keluarga hidupnya susah yang terdiri daripada seorang ayah, seorang ibu dan 3 orang anak. Suatu hari, ayah kepada keluarga ini telah membelanjakan duit gajinya untuk membeli sebuah televisyen LCD walaupun di rumahnya telah mempunyai sebuah televisyen yang besar. (televisyen lama) Televisyen tersebut masih berfungsi dengan baik dan tiada sebarang kerosakan.

Tiba-tiba, salah seorang daripada anak ayah ini menegur dengan nada baik akan tindakan ayahnya itu. "Ayah, daripada ayah membeli sebuah televisyen LCD yang baru, lebih baik ayah belikan kami peralatan sekolah, dan barang masakan untuk ibu masak.", kata salah seorang daripada anak keluarga ini.

Kerana rasa egonya dicabar, ayah meninggikan suara, "Suka hati akulah hendak buat apa dengan duit ini! Aku adalah KETUA keluarga ini!" Anaknya tadi terus terdiam dan meminta maaf.

Persoalan daripada kisah di atas, adakah seorang anak tidak berhak untuk menasihat atau menegur ayahnya itu? Adakah sebagai KETUA keluarga, ayahnya boleh berbelanja sesuka hati walaupun duit itu adalah hasil daripada usaha ayahnya? Adakah LCD itu lebih penting daripada peralatan sekolah dan barang masakan untuk keluarga? Sama-sama kita renungkan.


Mungkin pandangan aku lebih kepada anak kerana aku masih belum menjadi seorang ayah. Tapi, aku berharap agar Allah memberikan aku kekuatan untuk berfikir secara waras dan sentiasa berpandukan Al-Quran dan Sunnah dalam membuat sesuatu keputusan itu. Pada pandangan aku, duit itu adalah milik ayahnya tetapi tujuan utama ayahnya bekerja adalah untuk menyara keluarga. Jadi, pandangan aku adalah tidak salah sekiranya anak itu menegur perbelanjaan ayahnya tadi. Letak ketepi ego sebagai seorang bapa itu selagi teguran anak itu tidak bertentangan dengan agama. 

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian melainkan mereka yang beriman dan beramal saleh. Pesan memesan dengan kebenaran. Pesan memesan dengan kesabaran." (Surah Al-Asr)

Wallahualam.

Monday, May 28, 2012

Hamba

Pernahkah kita terfikir yang kita ini hanyalah hamba di dunia ini? Tidak kira kaya ataupun miskin, kadangkala kita lupa yang kita ini adalah hamba kepada Allah Yang Maha Esa. Kita mungkin sedar apabila kita disedarkan yang kita ini hanyalah hamba Nya tapi kita lupa bila kita tidak disedarkan. Bagaimana kita hendak melihat adakah kita hamba Nya yang taat? Kita lihat dan muhasabah diri kita sendiri apakah kita taat akan perintah Nya? Aku bukanlah seorang yang cerdik pandai tapi aku hendak berkongsi apa yang aku dapat. 

Hamba Duit - Manusia kadangkala akan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan duit sehingga kadangkala kita lupa akan hukum yang telah ditetapkan oleh Nya. Sebagai contoh, kerja siang malam mencari duit sehingga lupa tanggungjawab kepada Allah kerana tidak yakin duit yang diperolehi sudah cukup untuk menyara hidup keluarga. Allah tidak melarang umat Nya untuk mencari rezeki tetapi janganlah sehingga kita lupa yang dikejar adalah akhirat kelak kerana kita adalah hamba Allah bukan duit. 

Hamba Kuasa - Manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat atau meengekalkan kuasa. Sebagai contoh, manusia sanggup menipu, mengganas, dan sebagainya demi kepentingan kuasa mereka. Terlalu memikirkan bagaimana untuk menguasai dunia ini sehingga membelakangkan agama Islam. 

Hamba Dunia - Banyak lagi mainan dunia ini yang membuatkan manusia leka. Terlalu leka memikirkan keduniaan sehingga lupa yang kita ini hanyalah hamba kepada Allah sahaja. Kenapa kita harus takut kepada mainan dunia? Dunia hanyalah sementara dan janganlah kita menjadi hamba kepada mainan dunia ini. 

Sesungguhnya, buatlah sesuatu perkara di dunia ini dengan niat kerana Allah swt dan janganlah sehingga kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba Allah swt. Tiada siapa yang tahu niat kita melakukan sesuatu itu melainkan diri kita sendiri dan Allah swt. Wallahualam. (muhasabah diri)

Tuesday, May 15, 2012

Kaedah mendapat Kusyuk dalam Solat

Mungkin aku bukan seorang yang layak untuk memberikan tazkirah, kerana aku hanyalah insan yang serba kekurangan dengan ilmu agama. Namun aku cuma ingin berkongsi dan mengingatkan diri aku sendiri dengan apa yang aku baca. Mengikut Sheikh Dr Abu Anas, terdapat 5 kaedah untuk mendapat kusyuk di dalam solat; iaitu :

1. At-Tafahhum (التّفهّم) - Faham akan makna bacaan-bacaan di dalam solat.
2. At-Ta`zim (التعظيم)   - Mengagongkan Allah ketika menunaikan solat.
3. Al-Haibah (الهيبة)     - Berasa gerun dengan kehebatan Allah.
4. Ar-Raja’ (الرجاء)     - Sangat mengharapkan rahmat dari Allah ketika mengerjakan solat.
5. Al-Haya’ (الحياء)     - Malu dengan Allah akan kelemahan diri dalam menyempurnakan ibadah solat.

Solat adalah tiang agama. Jadi, sia-sialah jika kita solat tetapi tidak kusyuk. Semoga, video di bawah dapat menarik minat dan membantu kita sama-sama dalam untuk mengunakan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan kusyuk dalam solat. Wallahualam.


Wednesday, March 14, 2012

Apakah tujuan social network?

'Social Network' atau dalam bahasa Melayu nya adalah 'Rangkaian Sosial' sangat diperlukan oleh seluruh manusia di muka bumi ini. Siapa sangka, manusia boleh berinteraksi di antara satu dengan yang lain tidak kira di mana-mana mereka berada asalkan mempunyai rangkaian internet. Di antara social network yang terkenal buat masa kini adalah Facebook, Twitter & Google +. Mungkin ada lagi social network yang popular tetapi tidak aku ketahui. 


Berbalik kepada tajuk posting kali ini, Apakah tujuan social network? Apa yang kita lihat & yang berlaku di dunia ini, tidak kira mereka rakyat biasa, ahli politik, artis, dan sebagainya, boleh dikatakan setiap daripada manusia-manusia ini mempunyai account social network yang aku sebutkan di atas tadi. Jadi, begitu mudahnya kita hendak berkomunikasi di antara satu dengan yang lain tidak mengira siapakah individu tersebut. Melalui apa yang aku baca, pada pandangan aku, tujuan social network adalah seperti berikut.

Berkongsi maklumat 
- Dengan adanya social network seperti Facebook, Twitter & Google+ ini, kita bolehlah berkongsi maklumat apa yang kita baca, event-event yang hendak diadakan, apa yang berlaku disekitar kita dan lain-lain maklumat yang dapat mendatangkan manfaat kepada orang yang lain.

Keep in touch
- Dalam bahasa Melayu nya aku kurang pasti. Social network dapat memastikan persahabatan yang terjalin di antara satu dengan yang lain dapat dikekalkan walaupun berjauhan dengan adanya social network ini. Kita akan sentiasa dapat berhubung di antara satu dengan yang lain tanpa perlu bertemu 'face to face' jika kita berjauhan.

Mendapat maklumat dengan pantas
- Dengan adanya social network, manusia dapat mengetahui sesuatu perkara yang berlaku baik di dunia, atau di sekitar mereka dengan pantas sekali tanpa perlu menunggu berita di televisyen ataupun apa yang dilaporkan di surat khabar. Mungkin maklumat yang diperolehi tidak tepat, walaubagaimana pun, ia masih boleh dijadikan sebagai sumber yang boleh diguna pakai.

Namun, apa yang aku lihat, berlaku disekeliling aku terutama sekali bagi mereka yang beragama Islam, mereka menggunakan social network ini untuk meluahkan harapan, dan menangisi dosa-dosa mereka. Apakah kita sudah tidak mempunyai tempat mengadu yang lain? Jangan lupa, kita mempunyai Allah yang sentiasa mendengar doa dan luahan hati kita. Berdoalah kepada-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar akan permintaan hamba-Nya. 


Di sini aku ingin berkongsi sedikit apa yang telah aku baca. Di Baitulmuqaddis, terdapat sebuah tembok yang dipanggil Tembok Meratap atau Tembok Barat iaitu satu tempat yang dianggap suci oleh bangsa Yahudi dan Muslim. Ia adalah tinggalan dinding Bait Suci Kedua di Baitulmuqaddis yang dibangunkan oleh Nabi Sulaiman a.s. Bagi umat Muslim, dinding ini juga merupakan sebahagian dari dasar binaan Masjid al-Aqsa dan Masjid Omar, serta diyakini sebagai gerbang tempat berangkatnya Nabi Muhammad s.a.w. dari Baitulmuqaddis ke Syurga menaiki Buraq.

Orang Yahudi percaya bahawa tembok ini tidak hancur sebab di situlah terletaknya 'Shekhinah' (kehadiran Ilahi). Jadi pada mereka, berdoa di situ sama ertinya berdoa kepada Tuhan. Tembok ini dulunya dikenali sebagai Tembok Barat, tetapi kini disebut Tembok Ratapan kerana di situlah destinasi suci untuk orang Yahudi berdoa dan meratapi dosa-dosa mereka dengan penuh penyesalan.


Jadi, para sahabat dan rakan, berhati-hatilah apabila kita menggunakan social network ini kerana, tidak mustahil Facebook, Twitter & Google+ ini dicipta untuk menyesatkan umat Islam supaya umat Islam lebih mengadu masalah mereka di social network ini daripada memohon kepada Allah. Jadi, sentiasalah beringat tujuan sebenar kita menggunakan social network ini dan gunakanlah social network ini dengan sebaiknya. Waallahualam. 
  

Sunday, February 26, 2012

Di antara kesilapan ibubapa dalam mendidik anak

Mungkin aku bukanlah seseorang yang layak untuk menceritakan kisah mendidik anak ini dan aku sememangnya tidak mempunyai pengalaman dalam mendidik anak. Walaubagaimana pun, aku ingin berkongsi apa yang telah aku perolehi dari kuliah oleh Ustaz Khalid Haji Mohd Isa. Semoga apa yang disampaikan oleh beliau dapat kita peroleh kebaikan.


Anak yang baru dilahirkan ke dunia ini adalah diibaratkan kain putih yang suci. Ibubapa lah yang akan membentuk dan mencorakkan anak-anak ini. Di antara kesilapan yang sering dilakukan oleh ibubapa dalam mendidik anak mereka adalah seperti di bawah. Semoga ibubapa dapat mengelakkan daripada melakukan kesilapan-kesilapan ini.

Kesilapan pertama: Kurang berdoa 
- Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah Saidul (penghulu) Istighfar Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 8-9) Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 38) Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41). Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128) Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74) Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya. 

Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi)
- Seperti: menakutkan anak-anak dengan sekolah, menakutkan dengan tempat gelap, menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau, menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.

Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak
- Tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka. 

Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif
- Seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah). Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain. 

Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual)
- Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani. 

Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak
- Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra' : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra' kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."-(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas
- Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi dihadapan anak-anaknya. 

Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas
- Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh. 

Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah
- Seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi. 

Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak
- Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah. 

Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang
- Seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam. 

Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak
- Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya. 

Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita
- Baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar. 

Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton
- Samada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak. 

Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak
- Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam. 


Semoga para ibubapa dan yang bakal menjadi ibubapa dapat menghindarkan diri daripada melakukan kesilapan-kesilapan ini kerana sesungguhnya anak adalah anugerah daripada Allah yang sememangnya suci sejak mereka dilahirkan. Wallahualam.

Saturday, February 25, 2012

Bumi Syria


Setelah menonton video di bawah, aku terasa betapa kecilnya sumbangan aku terhadap agama aku. Itupun belum tentu lagi diterima oleh Allah. Aku hanya mampu berserah kepada-Nya agar menerima segala ibadah ku ini. Kita seharusnya bersyukur kerana berada di negara yang aman ini. Tetapi betapa ruginya kita kerana tidak dapat sama-sama berjihat demi menegakkan agama Islam seperti saudara-saudara kita di Syria. Aku hanya mampu mendoakan semoga perjuangan saudara-saudaraku di Syria mendapat Syahid. 

Aku rasa, belum tentu aku mempunyai keberanian seperti saudara-saudara ku di Syria kerana aku dilahirkan di negara Malaysia yang aman ini. Tetapi, setelah menonton video ini, terasa sangat untuk bersama-sama saudara-saudara ku di Syria. Betapa hebatnya mereka-mereka ini, betapa yakinnya mereka ini. Kita mungkin sering menyebut kalimah Bismillahhirahmanirahim, mengucap dua kalimah shahadah, takbir, tetapi pernahkah kita mendalami dan menghayati maksud kalimah-kalimah itu dengan bersungguh-sungguh? 

Kita kadangkala lupa yang dunia ini hanyalah sementara sehingga menyebabkan kita leka dengan mainan dunia ini. Kita terlalu taksub kepada sesuatu seperti seorang individu selain daripada Rasullullah, taksub akan harta kemewahan dunia, dan lain-lain lagi. Percayalah dan yakinlah yang kita akan mati dan dunia ini hanyalah persinggahan sementara. Aku hanyalah insan biasa yang begitu cetek pengetahuan tentang agama. Mungkin aku ada tersalah tulis, atau tersalah bahasa, tegurlah aku. Aku hanya ingin berkongsi apa yang aku perolehi, apa yang aku baca bersama-sama rakan-rakan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah swt.


Monday, February 6, 2012

Reward

Kenapa setiap perbuatan itu aku mengharapkan ganjaran hadiah? Kenapa setiap perbuatan itu aku mengaharapkan ganjaran pujian? Kenapa setiap perbuatan itu aku mengharapkan ganjaran anugerah? Kenapa setiap perbuatan itu aku mengharapkan orang untuk berterima kasih? Kenapa perlu sangat 'reward' ? Betapa ceteknya pemikiran aku ini. Aku lupa yang aku hidup di dunia ini hanyalah sementara. Ampunkanlah aku ya Allah.


Mungkin dari kecil sehingga ke alam pekerjaan, kita diajar dengan diberikan 'reward' sekiranya cemerlang dalam peperiksaan, berjaya menghabiskan puasa 30 hari, berjaya dapat masuk asrama, memenangi pertandingan, berjaya mendapat tempat di universiti, berjaya menyelesaikan masalah di tempat kerja, cemerlang dalam kerjaya dan sebagainya. Setiap kejayaan-kejayaan tadi sudah pasti kita akan diberikan ganjaran seperti hadiah, duit, pangkat, pujian dan lain-lain lagi untuk 'memotivasi' kan diri kita. Sekiranya tiada 'reward' sudah pasti ia akan demoralize diri kita untuk melakukan sesuatu yang disebutkan tadi. Kenapa ini berlaku? 


Aku berharap, aku dapat menasihati diri aku ini supaya tidak mengharapkan 'reward' sekiranya aku menjalankan tugasan seharian atau membantu insan yang lain kerana sesungguhnya, keredhaan dari Allah swt itulah tujuan utama kita hidup di dunia ini. Setiap hari kita membaca surah Al-Fatihah dalam solat kita, kita melafazkan, "Segala pujian tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." Jadi, pujian hanyalah untuk Allah bukan manusia dan janganlah sesekali kita mengharapkan pujian dari manusia kerana ia akan menimbulkan riak

Mungkin mudah bagi aku yang belum berkahwin ini untuk mengatakan, "Janganlah kita mengajar anak-anak kita dengan memberikan mereka hadiah untuk menggalakkan mereka membuat sesuatu." Tapi, aku akan sentiasa berdoa supaya Allah akan membantu aku dalam membentuk umat Islam yang menghayati cara hidup Islam. Mungkin kita telah diajar oleh orang-orang British dahulu kala supaya memberikan ganjaran bagi setiap perbuatan yang dilakukan dan kita jadi lupa akan cara hidup Islam. Disebabkan cara hidup secara amalan yang diamalkan oleh kita, kita lupa yang sepatutnya kita hidup berasaskan Al-Quran dan Sunnah. Aku bukanlah seorang yang cukup arif tentang agama ini, tegurlah aku jika aku salah. Aku cuma ingin memperbaiki diri aku yang kurang ilmu ini dan akan berusaha untuk mencari keredhaan Allah swt. Waallahualam.

Saturday, February 4, 2012

Selamat Menyambut Maulidur Rasul pada 12 RabiulAwwal 1433H

Setiap tahun umat Islam di Malaysia akan menyambut Maulidur Rasul pada 12 RabiulAwwal dengan pelbagai acara tahunan seperti perarakan sambil berselawat dari peringkat umur sekolah rendah ke pekerja terutama penjawat awam. Mereka semua akan bangun pagi untuk berhimpun di kawasan-kawasan tertentu bagi menjayakan majlis-majlis tersebut. Alhamdulillah. Semoga peserta-peserta yang menjayakan tersebut mendapat keredhaan daripada Allah swt. 

Bagi mereka yang tidak berpeluang untuk menyertai program-program tersebut, masih banyak lagi cara-cara lain untuk kita menyambut Maulidur Rasul ini. Di antaranya adalah menghayati ajaran agama Islam sebenar yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw dalam bentuk peribadi, keluarga, masyarakat dan negara dalam aspek kehidupan politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain. Tidak semestinya sekiranya kita tidak berpeluang untuk menyertai acara-acara tahunan itu bererti kita tidak mengingati Rasullullah saw. 

Alangkah bertuahnya sekiranya kita dapat hidup ketika zaman Rasullullah saw dulu kerana dapat kita melihat peribadai Rasullullah itu dengan mata kita sendiri. Walaupun kita tidak hidup ketika zaman Rasullullah, kita tetap dapat menghayati betapa indahnya rupa fizikal Rasullullah saw seperti yang diriwayatkan di dalam hadith-hadith. Di antara hadith-hadith yang aku baca untuk dikongsi bersama adalah seperti di bawah :

Hadith 1:

Jabir bin Samurah radhiAllahu `anhu berkata:
“Aku melihat Rasulullah pada suatu malam yang diterangi bulan purnama. Pada waktu itu, Baginda memakai pakaian berwarna merah. Aku memandang Baginda dan bulan silih berganti. Bagiku, Baginda lebih indah daripada bulan purnama”


(HR at-Tirmidzi)


Hadith 2:

Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata:
“Rasulullah bukanlah orang yang terlalu tinggi, namun bukan juga terlalu pendek, (kulitnya) tidak putih pucat juga tidak sawo matang, (rambutnya ikal) tidak terlalu kerinting dan tidak juga lurus.  Baginda diutus oleh ALLAH menjadi Rasul pada usia empat puluh tahun.  Baginda diwafatkan oleh ALLAH dalam usia enam puluh tahun, dalam keadaan tidak sampai 20 helai uban yang terdapat di kepala dan janggutnya.”


(HR al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi)


Hadith 3:

Ali bin Abi Talib radhiAllahu `anhu bercerita tentang sifat Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam:

Rasulullah tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu pendek.  Baginda bertubuh sederhana dalam kalangan kaumnya.  Rambutnya tidak kerinting bergulung dan tidak juga lurus kaku, melainkan ikal beralun.  Badannya tidak gemuk, bentuk wajahnya tidak bulat, tetapi bujur telur.


Kulitnya putih kemerah-merahan.  Matanya hitam pekat dan bulu matanya lentik.  Tulang sendinya gagah, bahunya bidang.  Badannya bersih daripada bulu dan rambut, tetapi mempunyai bulu yang memanjang dari dada sampai pusat.  Telapak tangan dan kakinya terasa tebal.


Apabila Rasulullah berjalan, pergerakannya kelihatan tegap (kakinya diangkat dengan kekuatan), seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi.  Apabila Baginda berpaling, kedua-dua bahunya berpaling serentak (seluruh badannya turut berpaling).  Di antara kedua-dua bahunya, terdapat khatamun-nubuwwah, iaitu tanda kenabian nabi.  Rasulullah merupakan seorang manusia yang hatinya paling pemurah.  Baginda adalah orang yang kata-katanya paling jujur.


Manusia yang perangainya paling lembut dan paling ramah dalam pergaulan.  Sesiapa yang melihatnya buat kali pertama, pasti akan menaruh rasa hormat dan segan kepadanya.  Sesiapa yang berkenalan dengan Baginda tentu nanti akan mencintainya.  Orang yang menceritakan sifat Rasulullah, tentunya akan berkata “Belum pernah aku melihat seseorang yang setanding dengannya, samada sebelum kelahirannya ataupun sesudah Baginda meninggal dunia.”


(HR at-Tirmidzi)


Hadith 4:

Hasan bin Ali berkata, “Aku pernah bertanya mengenai sifat Rasulullah kepada pakcikku yang bernama Hind bin Abu Halah (yang memiliki nama samaran Abu `Abdullah).  Hind bin Abu Halah adalah orang yang banyak mengetahui sifat Rasulullah.  Aku sangat berharap Hind dapat menceritakan beberapa sifat Rasulullah kerana aku mahu mencontohi Baginda.  Inilah yang dikisahkan oleh Hind:

“Rasulullah adalah seorang lelaki yang berwibawa.  Wajahnya cerah berseri bagaikan rembulan yang bersinar pada malam hari.  Baginda lebih tinggi daripada orang yang sederhana dan lebih rendah daripada orang yang tinggi.  Kepalanya besar (padan dengan dadanya yang bidang dan tubuhnya gagah).


Rambutnya beralun.  Apabila rambut bahagian depannya terurai, Baginda membuat belahan dua.  Jika tidak membelah dua, hujung rambutnya dibiarkan sampai cuping telinga, namun tidak melepasi had itu.  Rasulullah menjadikan rambutnya sebagai wafroh (rambut tidak lebih telinga).  Warna kulitnya putih kemerah-merahan.


Dahinya luas.  Keningnya panjang melengkung bagaikan dua busur panah yang terpisah.  Di antara kedua-dua keningnya, ada urat yang kelihatan memerah ketika sedang marah.  Hidung Rasulullah mancung, di hujung hidungnya ada cahaya yang memancar, sehinggakan orang yang melihatnya betul-betul, akan menyangka hidung Baginda lebih mancung (daripada yang sebenarnya).


Janggutnya tebal, kedua-dua pipinya mulus, mulutnya lebar.  Giginya agak jarang, namun teratur rapi.  Bulu dadanya halus.  Lehernya indah, tegak dan kuat.


Bentuk tubuhnya sederhana, badannya berisi seimbang, perut dan dadanya sama rata.  Dadanya lebar, kedua-dua bahunya bidang dan tulang sendinya besar.  bahagian badannya yang tidak ditumbuhi rambut kelihatan bersih bercahaya.


Dari pangkal leher sampai pusat, bulu yang tebal tumbuh seperti garisan.  Kedua-dua puting susu dan perutnya bersih.  Kedua-dua bahu dan dada bahagian atas berbulu halus.


Kedua-dua ruas tulang tangannya panjang, telapak kakinya lebar.  Kedua-dua telapak tangan dan kakinya terasa tebal, jari-jarinya panjang, lekukan telapak kakinya (bahagian tengah) tidak menyentuh tanah.  Kedua-dua kakinya halus sehingga air tidak melekat di kulit kakinya.


Apabila Rasulullah berjalan, kakinya diangkat dengan kesungguhan.  Baginda melangkah dengan mantap dan berjalan dengan tenang dan tawadhu`.  Jika Baginda berjalan, pergerakannya cepat seolah-olah Baginda sedang turun dari tempat yang tinggi.  Apabila dipanggil, Baginda akan memalingkan kedua-dua bahunya serentak.


Pandangan matanya terarah ke bawah.  Baginda menundukkan kepala menatap ke arah bumi lebih lama daripada memandang ke langit.


Apabila ada sahabat berjalan, Rasulullah akan berjalan di belakangnya.  Apabila bertemu dengan orang lain, Baginda yang akan terlebih dahulu memberi salam.”

(HR at-Tirmidzi)

Wallahualam. Semoga, daripada hadith-hadith yang aku kongsikan tadi, dapat kita sama-sama menghayati betapa indahnya Rasullullah saw. Mungkin kita tidak mampu untuk mengikut semua Sunnah Rasullullah saw tapi aku sentiasa mengingatkan diri aku ini supaya cuba mengikut sebanyak yang mungkin apa yang termampu. Kenapa kita sibuk hendak mengikut orang-orang barat sedangkan keperibadian Rasullullah saw dah cukup indah jika hendak dibandingkan dengan orang-orang barat itu. Semoga kita saling mengingati antara satu sama lain. Wallahualam.






Thursday, January 19, 2012

Riak

Riak adalah perasaan yang ini dipuji oleh orang yang lain. Mengikut kamus Dewan Bahasa & Pustaka, riak bersinonim dengan angkuh, bongkak, congkak, pongah, sombong, bangga diri, takbur. Riak atau bermegah merupakan sifat Allah (Al-Mutakabbir). Membuat sesuatu untuk dipuji adalah di larang dalam Islam dan perbuatan ini menggambarkan pelaku mempunyai sifat riak

Manusia tidak layak dan tidak berhak untuk menerima pujian kerana sesungguhnya manusia telah berikrar dalam bacaan Al Fatihah nya pada setiap kali bersolat iaitu "Segala pujian hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekian alam."

Nabi mengajar melalui hadisnya bahawa sekiranya ada manusia yang memuji kita, hendaklah kita mengambil pasir lalu melontarkan pasir ini ke muka orang yang memberi pujian ini. Hadis ini sungguh menjelaskan bahawa manusia tidak boleh menerima dan memberi pujian kerana segala pujian hanya milik Allah semata-mata. 

Perbuatan yang ikhlas adalah amalan yang diterima Allah yang iaitu perbuatan yang langsung tidak mencari pujian dari manusia dan semata-mata mencari redha di sisi Allah semata-mata.

Pernahkah kita terfikir, yang kita ini sentiasa diuji? Pernahkah kita terfikir, semakin banyak ilmu kita, semakin banyak beribadah kita, semakin kaya kita, semakin berpangkat kita, semakin berkuasa kita, semakin banyak ujian yang perlu kita hadapi. Kadang-kala kita terlupa yang kita sedang diuji. Kita dengan tidak sengaja menjadi riak dengan ilmu, kuasa, duit yang kita ada sedangkan itu semua adalah pinjaman semata-mata.

Aku kesal dengan diri aku sendiri sebab adakalanya aku lupa perkara-perkara tersebut. Aku lupa yang dunia ini sementara dan aku riak. Ya Allah, ampunkanlah hamba-Mu ini. Janganlah disebabkan ilmu yang aku ada sekarang ini membuatkan aku riak dan tidak boleh menerima pandangan orang lain. Janganlah disebabkan harta yang aku ada sekarang ini membuatkan aku riak dengan menunjuk-nunjuk pada kenalanku sedangkan masih banyak golongan-golongan yang miskin perlu dibantu. Janganlah disebabkan pangkat yang aku ada ini menjadikan aku riak dan sombong dengan sesama manusia yang memerlukan pertolonganku. Wahai kenalanku, tegurlah aku jika aku lupa, tegurlah aku jika aku leka. 


Aku bersyukur kepada-Mu kerana menemukan aku dengan kenalan-kenalan yang dapat mengingatkan aku. Aku sangat tertarik dengan kata-kata yang ditulis oleh seorang insan bernama Wani Ardy. "Ya Allah Ya Tuhanku, di setiap inci bilamana aku meninggi diri, membangga diri, membesar diri, aku mohon Kau jatuhkan aku, sakitkan aku, susahkan aku, hingga aku rendah semula ke tempat asalku. Kekalkanlah aku dalam kesedaran bahawa semua ini pinjaman yang tidak lama lagi akan ku pulankan. Amin ya rabbal alamin." -WNRD. 




Monday, December 12, 2011

Aku, Lim dan Islam



Kisah bermula.....

Aku punya seorang rakan baik dari zaman kanak-kanak, Lim Wei Choon. Sama-sama bersekolah rendah hingga ke peringkat menengah. Selepas SPM. Aku masuk ke Tingkatan 6, manakala Lim dihantar keluarganya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. 

Kenangan sewaktu kanak-kanak hingga ke zaman remaja terlalu banyak yang dikongsi bersama. Setiap kali hari raya menjelang, Lim pasti berkunjung ke rumah ku untuk menikmati dodol arwah ayahku yang amat digemarinya. Kadangkala, jika ada kenduri kendara dirumahku, pasti Lim akan turut serta. Aku jarang ke rumahnya kecuali umtuk beberapa sambutan seperti hari jadi dan juga Tahun Baru Cina. Aku takut dengan anjing peliharaan keluarga Lim. 

Dengan Lim juga aku belajar matematik manakala subjek Bahasa Malaysia. sering menjadi rujukannya padaku. Kenangan-kenangan seperti memancing, mandi jeram, ponteng sekolah untukmelihat pertandingan 'breakdance', semuanya kami kongsi bersama-sama. Apa yang ingin ku nyatakan ialah, warna kulit dan perbezaan agama tidak pernah menjadi penghalang persahabatan kami.

20 tahun telah berlalu, Lim telah menetap di Amerika setelah berjaya mendapat Green Card, beliau bekerja di sana. Itu yang ku ketahui dari kakaknya.  Hubungan ku dengan Lim terputus setelah dia melanjutkan pelajaran. Maklumlah, dizaman kami dulu tiada internet, email atau telefon bimbit, yang ada cuma sesekali menghantar poskad bertanya khabar. Untuk menulis surat kepada lelaki amat malas kami rasakan.

Suatu pagi aku bertembung dengan kakak Lim di pasar, kakaknya memberitahu Lim akan pulang ke tanahair. Dan aku amat terkejut dengan berita yang ku dengar dari kakaknya. "He's name is no more Lim Wei Choon. He's now Ahmad Zulfakar Lim since 5 years ago." Subhanallah! Syukur Alhamdulillah, rakan baikku telah menemui hidayah dari Allah S.W.T. Memang aku tak sabar untuk berjumpa dengannya lebih-lebih lagi setelah menjadi saudara seagama denganku.

 

Hari yang ku tunggu-tunggu telah tiba, dan petang itu aku berkesempatan bertemu dengan Lim di rumahnya. Ada satu keraian istimewa sempena menyambut kepulangannya. Ketika aku tiba, tetamu sudah semakin berkurangan. (Assalam 'alaikum)....Itulah kalimat pertama dari mulutnya, wajahnya sudah jauh berubah, air mukanya amat redup dan tenang. Aku menjawab salam dan berpelukan dengannya dan kami menangis umpama kekasih yang sudah terlalu lama terpisah. "Ini dia olang memang sudah manyak lama kawan, dari kecik ini dua olang." Ibu Lim menjelaskan pada beberapa orang tetamu yang melihat peristiwa kami berpelukan dan menangis itu.

Tetapi aku bukan menangis kerana apa, tetapi kerana amat sebak dan terharu dan sangat bersyukur melihat ke Islaman rakanku. Lim mengajak aku duduk dibuaian dihalaman rumahnya untuk berbual-bual. Beliau masih fasih berbahasa Melayu walau sudah lama berada diperantauan. 

"Kau kawan baik aku kan? Betul tak?" ..."Memanglah. Kenapa kau tanya macam tu?"... "Kalau kau kawan baik aku, Kenapa kau biarkan aku diseksa?". 

"Sorry Lim. Aku tak faham. Diseksa? What do you mean?". "Cuba kau fikir, kita ni kawan dari kecil. Aku ingat lagi, rumah kau tu, is my second house. Tapi, mengapalah kau tak pernah ceritakan pada aku tentang Islam? Mengapa aku kena pergi ke US baru aku dapat belajar tentang Islam? Mengapa bukan di Malaysia, negara Islam ni? Dan mengapa aku di Islam kan oleh seorang bekas paderi Kristian?".

Aku terdiam, kelu tak mampu menjawab. Dan Lim terus berkata-kata, "Kalau betullah kau kawan baik aku, kenapa kau cuma nak baik dengan aku didunia saja? Kau suka tengok kawan baik kau ni diseksa didalam api neraka? Kau tahu, kalaulah aku ni tak sempat masuk Islam hingga aku mati. Aku akan dakwa semua orang Melayu Islam dalam kampung kita ni sebab tak sampaikan dakwah dan risalah Islam pada aku, keluarga aku dan non Muslim yang lain."

"Kau sedar tak, kau dah diberikan nikmat besar oleh Allah dengan melahirkan kau di dalam keluarga Islam. Tapi, nikmat itu bukan untuk kau nikmati seorang diri, atau untuk keluarga kau sendiri. Kau dilahirkan dalam Islam adalah kerana ditugaskan untuk sampaikan Islam pada orang-orang yang dilahirkan dalam keluarga bukan Islam macam aku."

Aku masih tunduk dan terkata apa-apa kerana sangat malu. "Berdakwah adalah tugas muslim yang paling utama, sebagai pewaris Nabi, penyambung Risalah. Tetapi apa yang aku lihat, orang Melayu ni tidak ada roh jihad, tak ada keinginan untuk berdakwah, macamana Allah nak tolong bangsa Melayu kalau bangsa tu sendiri tak tolong agama Allah? Aku bukan nak banggakan diri aku, cuma aku kesal..sepatutnya nikmat ini kau kena gunakan dengan betul dan tepat, kerana selagi kau belum pernah berdakwah, jangan kau fikir kau sudah bersyukur pada Allah."

"Dan satu lagi, jangan dengan mudah kau cop orang-orang bukan Islam itu sebagai kafir kerana kafir itu bererti ingkar. Kalau kau dah sampaikan seruan dengan betul, kemudian mereka ingkar dan berpaling, barulah kau boleh panggil kafir."

Aku menjadi amat malu, kerana segala apa yang dikatakan oleh Lim adalah benar! Dan aku tak pernah pun terfikir selama ini. Aku hanya sibuk untuk memperbaiki amalan diri sehingga lupa pada tugasku yang sebenar. Baru aku faham, andai nya tugas berdakwah ini telak dilaksanakan, Allah akan memberikan lagi pertolongan, bantuan dan kekuatan serta mempermudahkan segala urusan dunia dan akhirat sesorang itu.

Petang itu aku pulang dengan satu semangat baru. Aku ingin berdakwah! Lim yang baru memeluk Islam selama 5 tahun itu pun telah mengislamkan lebih 20 orang termasuk adiknya. Mengapa aku yang hampir 40 tahun Islam ini (benarkah aku Islam tulen?) tidak pernah hatta walau seorang pun orang bukan Islam yang pernah kusampaikan dengan serious tentang kebenaran Islam? Semoga Allah mengampuni diriku yang tidak faham apa itu erti nikmat dilahirkan sebagai Islam.

by Abdullah Dari,
Jeram Pasuon Monday,
September 6, 2010, 
10:11am.

Tuesday, November 22, 2011

Kebenaran yang perlu kita tahu tentang 'SUBSIDI' di Malaysia


Mari kita memahami keadaan sebenar yang sedang berlaku di negara ini. Apakah dia yang dimaksudkan ‘Subsidi’ di negara kita? Aku bukanlah seorang pakar ekonomi, & aku bukan juga seorang pakar matematik. Tapi aku seorang rakyat yang ingin tahu apakah yang berlaku di negara aku kerana aku sayangkan negaraku ini. Jadi aku akan mencari berusaha mencari supaya aku tidak menjadi rakyat yang mudah ditipu. Kita boleh jadikan kisah ini sebagai sedikit panduan apakah yang dimaksudkan 'Subsidi' di negara kita ini.

....... Seorang lelaki yang dipanggil Maha memiliki sebuah ladang yang boleh menghasilkan 10 biji tembikai setiap hari. Beliau mempunyai 5 orang pekerja yang mengendalikan ladang. Setiap daripada mereka makan sebiji tembikai setiap hari.

Baki 4 biji tembikai yang tinggal, tuan rumah menjual pada harga RM10 setiap satu dan dia memperolehi RM40 jualan.  Dia gunakan RM25 untuk kos operasi ladang, beri RM2.00 kepada setiap pekerja dan dia menyimpan RM5.00 sebagai keuntungan. Secara ringkasnya :

KEUNTUNGAN = 4 BIJI TEMBIKAI X RM 10RM 40 

KEUNTUNGAN BERSIH = RM 40 - [(KOS = RM 25) + (GAJI 5 ORG = RM 10)] = RM 5

Hari demi hari, ladang itu dimajukan dengan baik dan kesemua 5 pekerja berpuas hati dengan simpanan wang mereka.

Meningkatkan Kualiti Ladang

Apabila Maha meninggal dunia, tuan tanah yang baru, Ali, datang untuk meneruskan operasi ladang. Dia berkata kepada para pekerja: 
"Kita perlu untuk meningkatkan kualiti ladang dan mentakrif semula cara kita berfikir. Mulai sekarang anda semua hanya perlu membayar RM1.00 bagi setiap tembikai yang anda makan. Ia sangat murah jika dibandingkan dengan harga RM10 setiap satu di luar ladang”.

Para pekerja tiada pilihan tetapi terpaksa membayar RM1.00 bagi sebiji tembikai yang mereka makan setiap hari. Pendapatan mereka berkurangan dari RM2.00 kepada RM1.00 bagi setiap orang.

Seperti biasa, Ali menjual 4 biji tembikai dan dia mendapat RM40.  Beliau menggunakan RM25 untuk kos ladang dan membayar gaji RM10 kepada pekerja.  Beliau mendapat RM5.00 sebagai keuntungan. Selain itu, beliau mendapat keuntungan RM5.00 dari tembikai yang dijual kepada pekerja-pekerjanya. Secara keseluruhan, dia mendapat RM10 sebagai keuntungan setiap hari.

KEUNTUNGAN = 4 BIJI TEMBIKAI X RM 10 = RM 40 

KEUNTUNGAN BERSIH = RM 40 - [(KOS = RM 25) + (GAJI 5 ORG = RM 10)] + (HASIL JUALAN TEMBIKAI PADA PEKERJA = RM 5) RM 10


Penswastaan

Sekarang .... dengan kenaikan harga barang, Ali menaikkan harga tembikai kepada RM20 setiap satu. Ali mendapat keuntungan yang lebih tinggi kerana dia mendapat jualan RM80 untuk 4 biji tembikai setiap hari. Kemudian, beliau memutuskan untuk memberikan kontrak perladangan untuk diswastakan kepada salah seorang teman rapat, Siti.

Siti berkata :  “Harga tembikai naik, peningkatan kos ladang  juga naik”.

Jadi, peningkatan kos ladang dinaikkan dari RM25 kepada RM50. Pada hakikatnya, peningkatan kos hanyalah RM30. Jadi lebihan RM20, Ali dan Siti berkongsi sama rata yang dikenali sebagai komisyen. Mari kira berapa banyak Ali dapat setiap hari :

KEUNTUNGAN = 4 BIJI TEMBIKAI X RM 20 = RM 80 

KEUNTUNGAN BERSIH = RM 80 - [(KOS = RM 50) + (GAJI 5 ORG = RM 10)] + [(KOMISYEN = RM 10) + (HASIL JUALAN TEMBIKAI PADA PEKERJA = RM 5)] RM 35

Secara keseluruhan, Ali mendapat RM35 sehari berbanding RM10 pada mulanya apabila beliau mengambil alih ladang dari Maha.  Keuntungannya bertambah RM 25 dan pekerja masih mendapat gaji RM1.00 sehari.

Subsidi

Atas desakan isterinya, Ali menjadi tamak tidak mahu berhenti di sini. Satu hari, dia berkata kepada pekerja-pekerja yang lain : 
“Anda lihat, harga pasaran semasa untuk satu tembikai adalah RM20 dan anda hanya membayar RM1. Lihatlah betapa bertuahnya anda! Saya telah memberi SUBSIDI RM19.00 bagi setiap biji tembikai anda beli. Secara keseluruhan, saya beri SUBSIDI RM95.00 untuk tembikai yang anda beli. Ini amat membebankan ladang dan kita mungkin menjadi muflis jika kita terus seperti ini”.

“Untuk mengelakkan kebankrapan, saya perlu tingkatkan harga tembikai yang anda beli dari RM1.00 kepada RM1.50, dan saya akan tanggung RM18.50 baki sebiji tembikai sebagai subsidi saya kepada anda semua”. 

KEUNTUNGAN = 4 BIJI TEMBIKAI X RM 20 = RM 80 

KEUNTUNGAN BERSIH = RM 80 - [(KOS = RM 50) + (GAJI 5 ORG = RM 10)] + [(KOMISYEN = RM 10) + (HASIL JUALAN TEMBIKAI PADA PEKERJA = RM 7.50)] RM 37.50

Jadi, dengan pengurangan subsidi, Ali menambah RM2.50 dari pekerja dan keuntungan menjadi RM37.50.

Selepas aku membaca cerita ini, yang aku perolehi di sini, aku rasa aku perlu untuk berkongsi makna 'SUBSIDI' yang diberikan oleh kerajaan. Terpulang kepada pembaca untuk menilai dan semuanya hak masing-masing. 

Dalam kisah ini, pertama sekali, subsidi RM95 TIDAK PERNAH WUJUD dan adakah ia sama juga digunakan pada subsidi RM52 bilion petrol dan barangan lain? Adakah pemotongan subsidi minyak sebenarnya hanya DIREKA-REKA demi kepentingan pihak tertentu? Wallahualam.

Saturday, November 19, 2011

Temubual Tun Dr Mahathir dengan BBC World


Mugkin ramai yang telah menonton video ini, dan mungkin masih ada yang belum menonton video ini lagi. Setiap orang ada pendapat dan pandangan masing-masing. Setelah menonton video ini berulang kali, aku juga ingin berkongsi pandangan tentang video ini.

Sebelum itu, secara ringkasnya, video ini mengisahkan sesi soal jawab Tun Dr Mahathir dalam rancangan BBC World. Dalam tem bual tersebut, antara perkara yang dibangkitkan adalah sistem pemerintahan demokrasi, zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir, pandangan terhadap kisah Holocaust, berkaitan golongan ekstrimis Islam dan lain-lain. Untuk penjelasan lanjut, sila tonton video di atas.

Pandangan peribadi aku, Tun Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang berani dan perkara ini memang tidak dapat kita nafikan. Tetapi, pada pandangan aku berkaitan pendapat beliau, "......kira-kira 1.3 billion boleh mengalahkan beberapa juta Yahudi......" tidak semestinya benar. Ini kerana Islam hanya boleh mendapat kemenangan dengan Iman dan izin daripada Allah. Mengikut sejarah Islam, kebanyakkan peperangan, umat Islam menang peperangan tersebut dengan jumlah yang minoriti.  Sebagai contoh, Khalid al-Walid mengetuai peperangan menentang orang-orang Parsi & Rom dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk meningkatkan Iman kita dan bukannya kuantiti.

Berkaitan puak pelampau Islam, dalam Al-Quran memang banyak menyebut Jihad. Cuma niat seseorang itu untuk berjihad itu hanya Allah sahaja yang mengetahui. Jadi, kita sama sekali tidak boleh mengatakan puak pelampau Islam ini sebagai jahat, kerana niat orang-orang ini hanya Allah sahaja yang tahu. Mungkin sekarang ini ramai yang sanggup mengebom diri mereka sendiri akibat terlalu taksub kepada sesuatu, itu adalah perkara yang tidak betul. Jadi, aku hanya bersetuju dengan Jihad mengikut Al-Quran dan Sunnah. 

Berkaitan soal jawab berkaitan sistem pemerintahan demokrasi, pada pandangan aku, tiada sistem pemerintahan yang secantik sistem pemerintahan Islam Madinah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Di antara dasar penting yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. di bawah sistem pentadbiran Islam adalah berasakan kepada perkara-perkara berikut :

i. Menghapuskan semangat assabiyah dan menggantikannya dengan semangat ummah mengikut akidah Islam.
ii. Menjadikan Islam sebagai landasan undang-undang dan peraturan dalam hidup bermasyarakat berasaskan Al-Quran dan Sunnah.
iii. Menjadikan kaedah musyawarah sebagai kaedah yang berkesan dalam pentadbiran.
iv. Memperkenalkan peraturan bertulis iaitu Piagam Madinah
v. Mewujudkan hubungan diplomatik dengan Habsyah, Mesir, Byzantine dan Parsi.

Ini belum termasuk dari segi pembentukan ummah, Piagam Madinah, pengasas dasar ekonomi Islam, pertahanan Madinah, Syura, pembinaan masjid dan lain-lain.

Seperti yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir, "... but if we had a bad leader, even the democratic system would fail...". Jadi, kita perlulah memilih pemimpin yang adil. Mungkin agak sukar kita hendak memilih pemimpin yang adil sekarang ini kerana tiada pemimpin sekarang ini yang maksum. Jadi, kita perlulah memilih pemimpin yang hendak melaksanakan yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah kerana sesungguhnya, tiada sistem pemerintahan yang secantik Islam.


Tidak dinafikan Tun Dr Mahathir memang seorang yang tinggi ilmu pengetahuannya. Cuma pada pandangan aku, Tun Dr Mahathir akan menjadi seorang pemimpin Islam yang hebat sekiranya beliau mengikut cara Islam iaitu mengamalkan Al-Quran & Sunnah. Wallahualam.

Thursday, November 17, 2011

Guru di Malaysia



Di Malaysia, profesion perguruan adalah satu profesion yang paling unik. Guru tidak mengetahui masa bekerja mereka. Mereka hanya maklum perlunya datang sebelum waktu pengajaran dan pembelajaran bermula. Adapun waktu pulang/habis kerja, semua guru tidak berupaya memberikan jawapannya. Pihak kementerian pula hanya buat ‘tak tahu’ sahaja.

Keluhan dan rintihan guru seringkali kedengaran sehingga ada pihak yang iri hati. Pada mereka, kerja guru adalah senang dan banyak cuti. Tetapi yang pelik dan ajaib, pada mereka yang berpendapat sebegini ialah mereka tidak ingin untuk menjadi guru. Aku mencadangkan supaya korang menyelami dan membuat pemerhatian kerja guru dalam masa seminggu dan membuat rumusan sama ada sibuk atau tidaknya guru dalam melaksanakan tugas yang sebahagian besar (bukan kecil) adalah bukan tugas asasi mereka iaitu mengajar. Sudah beberapa kali dan di bawah beberapa orang menteri membuat kajian dan laporan kononnya mengkaji beban tugas guru tetapi sehingga kini tiada tindakan yang diambil untuk mengatasi beban guru. Malah pihak kementerian bukan meringan tetapi menambahkan lagi beban yang sudah sedia ada. Mutakhir ialah program memperkasakan ko kurikulum, satu pelajar satu sukan dan guru dipaksa menulis refleksi dengan pen merah atau pen hitan (arahan sentiasa bertukar warna pen).


Apakah kesudahan kajian beban tugas guru yang sudah tiga kali dibuat oleh para bijak pandai di atas sana? Isu ini akan di ‘play down’ lagi oleh mereka yang berkenaan apabila pihak kesatuan guru (yang hanya memperjuangkan kategori guru tertentu sahaja) bersuara. Seperti biasa, ia akan kecoh untuk beberapa jam dan selepas itu senyap di bawa angin dengan kelicikan minda pihak yang berkenaan. Para penguasa pun lega hati. Guru terus makan hati.

Benarkah guru kerja dari jam 7.30 hingga 1.00 petang. Mungkin ya bagi sekolah rendah tetapi bagi sekolah menengah guru bekerja dari seawal 7.20 am sehingga - ?? guru sendiri pun tidak tahu jam berapa walaupun secara amnya mereka balik jam 2.30 pm. Terdapat sekolah dimana Pengetuanya mengarahkan guru balik hanya selepas jam 3 petang. Kakitangan kerajaan yang lain bekerja dari 8.00am sehingga 5.00 pm iaitu Sembilan jam dan bersamaan dengan 45 jam seminggu. Adakah korang rasa guru bekerja kurang atau lebih dari 45 jam seminggu?  Jadual di bawah ini menerangkan dengan lebih jelas jangkamasa kerja guru di sekolah menengah (bulanan).


JADUAL JANGKAMASA KERJA GURU SEBULAN

Hari
Waktu
Perkara
Jumlah (Jam) x 4 minggu
Catatan
Isnin
7.20am – 2.30pm
Hari kerja biasa
7

Selasa
7.20am – 2.30pm
Hari kerja biasa
7

Rabu
7.20am – 4.30pm
Hari kerja biasa + aktiviti Ko kurikulum
9
Terdapat sekolah yang memperuntukkan 2 hari untuk aktiviti Koku.
Khamis
7.20am – 2.30pm
Hari kerja biasa

Jumaat
7.20am – 12.00pm
Hari kerja biasa
 5

Jumlah Sebulan


35jam x 4 minggu = 140

Sabtu ke 2 dan ke 4 sahaja
8.00am – 1.00pm

LADAP, Perkhemahan, Mesyuarat, Kursus, Kelas Tambahan, Gotong Royong, Program-program khas seperti Hari Pertemuan PIBG.

5 jam x 2 kali sabtu
=10 jam
Guru dipaksa merancang dan mengadakan program bukan dengan kehendak mereka!
Mingguan
Semasa, selepas waktu persekolahan
Memeriksa kerja/buku pelajar, persediaan soalan ujian/ peperiksaan, buku  rekod dan pesediaan kelas
5 jam seminggu x 4 minggu = 20 jam

Aktiviti lain sepanjang Isnin – Jumaat.
3.00pm – 5.00pm atau sehingga 6.00pm
Kelas tambahan dan berpuluh-puluh jenis mesyuarat seperti Mesyuarat Bidang, Panatia, HEM, KoKu, Disiplin, AJK2, latihan sukan dll.
4 jam  (atau lebih tetapi tidak kurang) x 4 minggu = 16 jam
Aktiviti ini bergantung kepada pihak pentadbir dan lazimnya wujud setiap minggu sekurang-kurangnya sekali
Aktiviti Tahunan
4 hari = 96 jam
Perkhemahan Koku, Kaunseling, lawatan dan aktiviti HEM di mana Guru dipaksa tidur di tapak perkhemahan
96 jam/12 bulan = 8 jam

Jumlah jam keseluruhan (Bulanan)


140 + 10 + 8 + 16+8 =182 jam
Jumlah ini bukan konklusif kerana waktu program adalah tidak tetap.


Purata Masa Bekerja Seminggu
178 /4 minggu= 45.5 jam




Dari jadual di atas, kita dapati guru bekerja lebih lama dari mereka yang bekerja waktu pejabat. Perlu difahami bahawa jangkamasa waktu yang dipaparkan di dalam jadual adalah anggaran sederhana sahaja. Realitinya guru memperuntukkan masa yang lebih lama dari yang dicatatkan di dalam jadual. Guru yang sejati akan membawa pulang kerja mereka ke rumah khususnya buku-buku latihan para pelajar untuk diperiksa. Pihak kementerian memberi kebenaran untuk pihak sekolah/pengetua mengarah guru bekerja pada dua kali sabtu dalam sebulan di atas rasional yang tidak kita ketahui dan fahami. Tetapi itu bukanlah satu kemestian. Malangnya pihak pengetua memaksimakan penggunaan kedua-dua sabtu (seolah-olah ianya wajib) tersebut untuk memaksa guru hadir ke sekolah bagi melaksanakan tugas yang sebahagiannya bukan tugas guru seperti gotong-royong, melukis mural, mereka bentuk lanskap sekolah, mengecat kelas, kursus-kusus dalaman yang membosankan (termasuk LADAP) seperti ‘team-building’ dan sebagainya. Tetapi mereka yang berkepentingan (pengampu)  akan berhujah bahwa guru  menikmati cuti penggal persekolahan sebagaimana pelajar sekolah.


Kita ingin maklumkan bahawa oleh kerana gaji guru sebagai ‘kuli berijazah’ adalah kecil, maka mereka terpaksa mencari duit lebih seperti menjadi pemeriksa dan ‘invigilator’ untuk peperiksaan awam seperti SPM atau STPM. Oleh itu mereka bekerja dalam cuti. Perlu difahami sifat kerja guru adalah berlainan khususnya  dari sudut psikologi. Setiap hari guru tidak melakukan kerja yang sama sepertimana profesion lain. Guru mengajar topic atau tajuk yang berlainan dengan pendekatan dan kaedah yang berlainan. Melayan karenah pelajar yang tidak boleh dipukul dan dimarahi sebarangan kerana kekangan peraturan dan undang-undang. Ini memberi kesan psikologi yang mendalam kepada minda mereka. Guru bukan sahaja bekerja di dalam pejabat, kelas, padang malah juga dalam hutan seperti dalam kegiatan ko kurikulum yang melibatkan jungle tracking. Guru dipaksa menjadi ‘nanny’ atau penjaga budak kepada semua pelajar dibawah tanggungjawab pengajaran mereka. Setiap guru mesti mengetahui kepandaian,kelemahan, kecenderungan dan keistimewaan 130 -150 pelajar mereka. Ini semua adalah kerja yang amat rumit dan memerlukan masa tumpuan dan komitmen yang amat tinggi. Guru bertanggungjawab menyalur ilmu kepada para pelajar dan setiap hari tugas mereka adalah tidak sama dalam konteks penyaluran ilmu yang berbeza kepada pelajar.  Oleh itu fenomena ‘stress’, ‘tension’ dan ‘burn out’ tidak dapat dielakkan. Kita amat yakin pihak kementerian maklum tentang perkara ini. Malah kita yakin  Menteri atau Ketua Pengarah Pelajaran pun tidak akan mampu melakukan perkara ini walaupun mereka dinobatkan kononnya sebagai orang yang hebat.


Untuk maklumat lanjut berkaitan nasib guru di Malaysia, sila click Guru.