Hari ini, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan Baget bagi tahun 2012. Terdapat bermacam-macam yang telah PM Malaysia umumkan. Walaubagaimana pun, aku tertarik dengan pengunguman 'Umur wajib bersara 60 tahun'. Cuba bayangkan anda berada disituasi umur 60 tahun. Mungkin PM Malaysia mengambil kira perkara ini disebabkan oleh desakan dari Ceupacs. Adakah permintaan Ceupacs ini mengambil kira daripada semua peringkat penjawat awam ataupun mereka syok sendiri?
Antara alasan Cuepacs untuk meminta umur persaraan wajib daripada 58 tahun ke 60 tahun adalah rakyat Malaysia masih mampu menyumbang kepada ekonomi negara meskipun umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun dan hujah ini diperkuatkan lagi apabila industri perbankan tempatan telah bersetuju dengan perkara ini. Kenapakah agaknya industri perbankan bersetuju?
Selain itu juga, alasan yang diberikan adalah kebanyakan negara di Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia & Brunei, umur persaraan mereka adalah 60 tahun dan di Singapura pula adalah 62 tahun. Peningkatan umur persaraan ini juga dapat membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup. Itu adalah diantara alasan yang dikemukakn oleh Ceupacs untuk memohon menaikkan umur persaraan kepada 60 tahun.
Terdapat kebaikan dan keburukan umur persaraan wajib ini dinaikkan kepada 60 tahun. Walaubagaimana pun, jika diteliti betul-betul, adakah kebaikan melebihi keburukan? Jika lebih banyak keburukan, adalah lebih baik umur persaraan wajib ini tidak dinaikkan. Di antara keburukan jika umur persaraan wajib ini dinaikkan adalah seperti berikut :
1. Bagaimana jika penjawat awam yang telah lanjut usianya ini adalah yang jenis tidak produktif dalam kata lain mereka yang suka 'curi tulang'? Adakah berbaloi rakyat Malaysia membayar gaji mereka yang mahal (semakin meningkat usia penjawat awam, semakin meningkat gaji mereka) ini tetapi tidak menghasilkan produktiviti? Memang tidak dinafikan masih ada penjawat awam yang lanjut usianya ini masih produktif dan mempunyai kepakaran dalam sesuatu perkara tetapi kebanyakkannya adalah tidak begitu disebabkan Budaya Kerja.
2. Apa yang akan terjadi kepada graduan baru yang semakin ramai yang memerlukan pekerjaan? Tidakkah ini akan menyumbang kepada kadar pengangguran di Malaysia?
3. Bukankah kebanyakkan daripada rakyat Malaysia yang usianya 50 tahun ke atas selalunya berhadapan dengan pelbagai kompilasi kesihatan? Bukankah ini akan menyebabkan penjawat awam itu bersara lebih awal dari tempoh persaraan? Apakah kesannya jika seseorang penjawat awam itu bersara awal?
4. Apakah kesan kepada hubungan kekeluarga jika sehingga umur 60 tahun, seseorang yang telah bergelar atuk atau nenek masih bangun pagi untuk pergi bekerja? Bagaimana mereka hendak memberikan kasih sayang mereka kepada cucu mereka? Sudahlah anak tidak dapat diberikan kasih sayang, cucu pun tidak mendapat kasih sayang. Apa akan terjadi dengan anak-anak & cucu-cucu (generasi akan datang) jika mereka ini kurang kasih sayang?
5. Bagaimana hubungan penjawat awam itu kepada Tuhan mereka? Adakah mereka ini hidup untuk bekerja? Bukankah kita hidup untuk mati? Di dalam agama Islam itu sendiri tidak menghalang umatnya untuk bekerja kerana kerja juga merupakan ibadah tetapi adakah perlu kita mengejar dunia sehingga umur kita 60 tahun? Bagaimana perhubungan kita dengan Allah?
Mungkin terdapat banyak lagi yang boleh dipersoalkan berkenaan umur wajib bersara 60 tahun ini baik yang tersurat mahupun yang tersirat. Mungkin ramai yang bersetuju & ramai juga yang tidak bersetuju. Kita ambil contoh pelajar; seorang pelajar itu belajar untuk exam, jadi mereka perlu belajar. Kita hidup untuk mati, jadi apa yang perlu kita buat? Terpulanglah kepada anda untuk menilai perkara ini. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment