Friday, February 20, 2015

Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat


(sumber gambar dari Twitter)

Belum pernah aku rasa sedih di atas pemergian ahli politik. Ini adalah kali pertama aku rasakannya. Aku tidak pasti kenapa tapi aku rasa.

Sebenarnya minggu lepas (seminggu sebelum Tuan Guru meninggal dunia) aku berkata-kata di dalam hati untuk cuba bertemu dengan Tuan Guru tapi DIA lebih menyayangi Tuan Guru. Satu kerugian buat diri aku kerana tidak berpeluang langsung untuk mendengar ceramah, bertemu muka, berkata-kata, bersalaman dengan Tuan Guru. Sungguh.

Aku pun tak pasti berapa lama lagi peluang aku untuk meminjam semua di dunia ini. Mungkin esok, lusa, aku pun tak pasti. Cuma yang pasti, kehilangan Tuan Guru membuatkan aku lebih memikirkan kehidupan selepas dunia. 


(sumber gambar dari Twitter)

Terlalu banyak dosa. Terlalu daif dengan pahala. Terlalu lalai dengan dunia. Hanya DIA Yang Maha Mengetahui segalanya. Aku cuma mampu menyesali di atas semua perbuatan itu. Aku cuma mampu berharap DIA akan mengampunkan segala salah aku.

Pulangnya Tuan Guru membuatkan hilangnya pejuang Islam yang istiqamah. Seorang yang sangat memikirkan rakyatnya. Seorang pemimpin yang harus diikuti dan diteladani. Sangat merendah diri. Sangat kuat dalam menegakkan hukum Tuhan. Hanya DIA Yang Maha Mengetahui sejauh mana bersungguhnya Tuan Guru memperjuangkan Islam.

Malam Jumaat. Sungguh bertuahnya Tuan Guru. Walau pilu, namun doa aku dan seluruh umat Islam di negara ini, dan di luar sana, tidak putus buat Tuan Guru. Semoga Tuan Guru di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin ya rabbal alamin.

23 Rabiul Akhir 1436H
12 February 2015

Saturday, January 10, 2015

Mesin Cahaya Masa oleh Wani Ardy


Pernah tengok gambar di atas? Penulisnya Wani Ardy. Kalau suka baca tulisan Wani Ardy, boleh beli buku kedua Wani Ardy terbitan Selut Books berjudul Mesin Cahaya Masa. Mesin Cahaya Masa adalah himpunan puisi dan catatan oleh Wani Ardy. Seperti Langit Vanilla, Mesin Cahaya Masa juga membuatkan aku melihat tentang kehidupan dan membawa diri aku untuk dekat pada DIA. Tulisan yang jujur dan ikhlas dari hati membuatkan Mesin Cahaya Masa menjadi teman yang akan sentiasa bersama. 


Puisi di atas adalah salah satu yang aku suka terdapat di muka surat 58, Mesin Cahaya Masa bertajuk Good Things. Mesin Cahaya Masa bukan sekadar menghimpunkan puisi dalam Bahasa Melayu tetapi juga English. Bahasa hanyalah sebagai medium perantara yang penting isinya. Tapi aku suka kalau Wani Ardy terus menulis dalam pelbagai bahasa kerana secara tidak langsung menambahbaik vocabulary aku. 

Isi kandungan Mesin Cahaya Masa penuh dengan tentang kehidupan yang sebenarnya kita sendiri lalui. Cuma kita, manusia, selalu lupa dan tidak menghayati apa yang kita lalui setiap hari terutamanya dengan insan yang dekat dengan kita. Mesin Cahaya Masa dapat membuatkan kita rasa dan ingat semula apa yang kita lalui itu sebenarnya. 

Setiap buku ada bezanya. Ada kelebihan dan ada kekurangan. Terpulang kepada pembaca untuk menilai sendiri Mesin Cahaya Masa ini. Di bawah pula, aku kongsikan puisi bertajuk Peta di muka surat 8 Mesin Cahaya Masa.

Kau ada, kan?
Kau ada dekat-dekat sini, kan?
Jadi kenapa?
Jadi kenapa kau sembunyi-sembunyi?
Kau sangka kita hidup lama lagi?
Kau nampak, ini?
Kau nampak peta yang aku pegang ini?
Dah renyuk, dah naik lunyai aku usung ke sana ke mari
salah jalan
patah-patah balik
Payah sangat, kah?
Payah sangatkah utuk kau berdiri
keluar dari sebatian lautan ini
dan teriak :
"Oi! Akulah orangnya!
Akulah orangnya yang bakal kau jaga sampai tua!"
Kau tak bersuara pun tak apa.
Kau angkat tangan saja pun tak apa.
Kita cuma perlu bertentang mata,
sebelum peta terkoyak jadi dua.

Dah dua puisi Mesin Cahaya Masa aku kongsikan kat sini. Masih tak cukup? Mungkin baca sendiri dengan yang dilagukan oleh penulis tak sama. Oklah, last untuk Mesin Cahaya Masa. Di bawah ini pula, puisi yang dinyanyikan oleh Wani Ardy sendiri bertajuk Yang Hanya Tinggal Cinta dan Tinta.


Terima kasih Wani Ardy untuk coretan di Mesin Cahaya Masa. Terima kasih Selut Books untuk terbitan buku-buku yang berkualiti.

p/s : Untuk tahun 2015, kepada yang berminat untuk belajar menulis dan persembahan puisi bersama Wani Ardy (penulis Langit Vanilla dan Mesin Cahaya Masa) dan Fazleena Hishamuddin (penulis Seksi Ovari dan Bibir Ceri Melati), boleh menyertai #PondokPuisi dan membuat pendaftaran seperti poster di bawah.