“Allah sedang mengajar saudara,” kata saya hampir berbisik. Mengalih fokus perbualan kepada dirinya dan saya.
“Allah sedang mengajar saya?”
“Allah mengajar saudara melalui mereka.”
“Apa yang Allah sedang ajar saya melalui perlakuan mereka?”
“Allah mengajar saudara tentang ikhlas!” tusuk suara perlahan.
Dia terdiam. Sebenarnya saya turut simpati dan empati dengan nasibnya. Ketika dia selayaknya tersenyum kerana kejayaannya, sebaliknya dia bersedih, rasa terpinggir dan hampir dilupa.
“Saya geram dengan pengampu dan penbodek. Saya benci dengan siasah pembelit yang licik dan berstrategik,” ujarnya berterus terang.
”Saudara, jika kita sibuk melakukan kebaikan, kita tidak akan sempat melihat keaiban orang lain. Jika kita masih sempat, itu pertanda kebaikan yang kita buat masih sedikit. Dan kita masih belum benar-benar baik,” balas saya dengan nada memujuk.
“Oh, sukarnya!” katanya hampir mengeluh.
“Saudara patut bersyukur dengan kesukaran itu.”
“Kenapa? Bukankah sepatutnya saya bersabar?”
“Kita wajar bersyukur kerana Allah hendak menyelamatkan kita daripada riya’ dan takbur atas kebaikan yang telah kita lakukan. Tanpa sanjungan, tanpa pujian, bukankah rasa takbur dalam hati kita akan tertekan? Rasa riya’ juga akan dihenyak?”
“Benar juga kata saudara. Tetapi sungguh, sukar untuk memdidik hati agar rasa begitu.”
Toxic people
“Saudara, dalam setiap perjuangan juga ada golongan yang dinamakan toxic people.”
“Toxic people?”
“Golongan yang berpura-pura dan menikam dalam diam. Wujudnya golongan ini seiring dengan wujudnya wira yang tidak didendangkan tadi.”
“Maksudnya?”
“Kerana adanya toxic people inilah menyebabkan wujudnya 'unsung hero' !”
“Awak ni ada-ada sahaja,” katanya sambil tersenyum.
Alhamdulillah saya dapat menyebabkan wajahnya yangmurung tadi ceria sedikit.
“Toxic people ini tidak banyak kerja untuk orang lain melainkan bekerja untuk kepentingan diri. Dia mengampu yang diatas, menyiku yang sebaya dan menekan yang dbawah.”
“Saya akan lawan mereka!”
“Jangan. Pembelit akan terbelit dengan jeratnya sendiri.”
“Pujuklah hati agar berbahagia dengan keikhlasan bukan dengan harapan agar orang yang tidak sehaluan dimusnahkan. Tidak ada ketenangan jika ada kebencian.”
“Berapa lama harus saya bersabar, eh… bersyukur?”
Saya tersenyum.
“Sabarlah dalam bersabar. Dan syukurlah sehingga tidak dapat diukur.”
“Ini pasrah atau mengalah?”
“Tidak kalah dengan mengalah.”
Sebab itu adanya akhirat
Saya dapat menyelami perasaannya. Setiap kita pasti diuji – isteri yang setia oleh kecurangan suami, majikan yang adil oleh pekerja yang tamak, pengikut yang setia oleh pemimpin yang zalim. Dunia ini memang tidak adil… sebab itu adanya akhirat. Disanalah keadilan yang hakiki dan mutlak akan tertegak.
“Kenapa kita tertekan bila diuji begini?” jolok saya apabila melihat dia mengelamun.
Dia diam.
“Kalau disusuri dengan hati yang paling jujur, dimunasabahkan dengan jiwa yang paling saksama, pasti di sebalik semua itu adalah kepentingan dunia jua,” kata saya.
“Sebab tidak naik pangkat, tidak dapat ganjaran, tidak dapat pujian dan sanjungan… Bukankah begitu?”
Dia diam. Matanya berkaca.
“Marilah sama-sama kita akui, kita pun jahat juga. Mungkin kita bukan 'unsung hero', sebaliknya kita juga hakikatnya toxic people!”
“Siapa yang mampu menilai siapa kita.”
“Dalam al-Quran Allah telah tegaskan dengan firman-Nya: ‘Beramallah. Nanti Allah, Rasul dan orang mukmin akan menilai amalan kamu itu.’ Itulah tiga penilai yang paling tepat. Selain daripada ketiga-tiga itu semuanya tersasar.”
“Sekarang saya faham kenapa sejarah sering diselewengkan hinggakan wira dianggap penderhaka, penderhaka dianggap wira.”
“Kecuali sejarah yang dibawa oleh al-Quran dan sunah.”
“Jika tidak kita akan memuji Hamman pengampu Firaun berbanding Masyitah. ‘tukang sikat rambut’ bagi anak perempuan Firaun. Tentulah Hamman lebih tersohor, kerana dia bertaraf menteri bagi sesebuah Negara. Sebaliknya Masyitah hanya seorang kuli biasa,” jelasnya menguatkan keterangan saya.
Saya tersenyum. Masih terbayang dalam ingatan bagaimana pada suatu ketika dahulu buku-buku sejarah (yang menyalin bulat-bulat fakta dan idea penjajah) menyanjung residen-residen British seperti Hugh low, Frank Swettenham, Cliffort dan lain-lain manakala Dato’ Bahaman Dato Maharajalela, Tok Janggut, Mat kilau dan lain-lain dilabelkan sebagai penderhaka.
Itu tidak termasuk lagi figure seperti Mustafa Kamal Ataturk yang dianggap sebagai wira Turki padahal dialah yang paing banyak merosakkan Islam di Turki dan khalifah dalam dunia Islam.
“Namun begitu, betapa licik sekalipun strategi dan putar belit toxic people ini mereka tidak akan dapat menipu semua orang pada setiap masa. Lebih-lebih lagi mereka tidak dapat menipu diri sendiri.”
Mereka tidak bahagia
“Maksud saudara mereka tidak akan bahagia walaupun dengan jawatan, nama dan harta yang mereka miliki?”
“Mereka mendaki kepuncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Hidup mereka sentiasa tidak senang kerana asyik memikirkan perancangan jahat. Mereka akan sentiasa dibayangi oleh orang yang mereka benci ke mana saja mereka pergi. Orang yang tidak cukup dengan sedikit, pasti tidak akan puas dengan yang banyak.”
“Tenang sedikit saya mendengarnya.”
“Mendengar yang mana satu?”
“Yang mana satu?” tanyanya semula.
“Mendengar balasan yang akan menimpa toxic people atau ketenangan yang bakal dimiliki oleh 'unsung hero' ?”
Dia tersenyum.
“Kita harus ingat, ramai orang yang tidak berbahagia dengan jawatan, harta dan nama yang tersohor tetapi lebih ramai yang tidak bahagia kerana dengki dengan harta, jawatan dan nama yang dimiliki oleh orang lain. Yang satu ‘tak dapat’ apa yang mereka dapat. Yang satu golongan lagi ‘tak dapat’ apa yanag mereka memang tak dapat!”
“Kesimpulannya?”
“Biarlah sapi yang dapat nama… kerana kita bukanlah lembu yang terkenal dengan kedunguannya!”
Teringat pula perumpamaan orang tua-tua dahulu, bodoh macam lembu. Relakah kita menjadi “lembu” hanya kerana dengki akan sapi yang mendapat nama? Katakan tidak, kerana Allah, Rasul dan orang Mukmin yang akan menilai kita. Itu lebih penting!
Dan tiba-tiba saya teringat sebuah nasyid yang didendangkan oleh Mujahid nasyid yang telah pergi – Ustaz Asri Ibrahim
Katanya, “Mana milik kita? Tidak ada milik kita… Semuanya yang ada, Allah yang punya!”
PETIKAN DARI BEDUK 23, BUKU “BEDUK DIKETUK” - PAHROL MOHD JUOI
TERBITAN TELAGA BIRU SDN BHD
No comments:
Post a Comment