Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, ramai yang menceritakan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dengan anaknya Nabi Ismail a.s. Mungkin telah ramai yang mengetahui kisah tersebut. Jadi, aku rasakan lebih baik jika aku berkongsi dengan rakan-rakan pembaca berkaitan ujian Allah ke atas Nabi Ibrahim a.s. menerusi ayahnya. Ia juga merupakan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. yang terpaksa meninggalkan rumahnya (ayahnya) demi menyebarkan agama Islam. Di bawah ini adalah secara ringkas kisah Nabi Ibrahim a.s. dan ayahnya.
Ayah Nabi Ibrahim a.s. merupakan seorang pedagang patung-patung berhala yang dipahatnya sendiri. Dalam beberapa surah di dalam Al-Quran telah memaparkan kedudukan ayah Nabi Ibrahim a.s. terhadap dakwah beliau kepada ayahnya agar menyembah kepada Allah Taala dan seruan beliau kepada ayahnya dan kaumnya agar meninggalkan penyembahan kepada berhala sepertimana halnya Al-Quran juga telah memaparkan pertentangan sengit daripada ayah Nabi Ibrahim a.s. terhadap dakwahnya di dalam jalan Allah Taala seperti di dalam surah al-An'am ayat 74.
Datuk Nabi Ibrahim a.s., Nahur adalah seorang pakar dalam bidang peramalan nasib. Nabi Ibrahim a.s. tumbuh dewasa dalam asuhan ayahnya yang kerjayanya sebagai pembuat berhala sembahan kaumnya. Nabi Ibrahim a.s. melalui hari-harinya bersama ayah dengan melepasi masa-masa pembuatan berhala-berhala tersebut. Terkadang beliau melihat ayahnya membelah kayu dan memahatnya menjadi berhala, maka beliau berusaha membuang jauh-jauh kayu itu daripada ayahnya atau terkadang dia gunakan kayu itu sebagai kayu bakar. Beliau berharap agar ayahnya menyedari bahawa berhala-berhala itu tidak mampu melindungi dirinya sendiri, bagaimana pula dia boleh menjadi tempat permohonan manusia agar tunduk dan sujud kepada berhala-berhala tersebut.
Ketika Nabi Ibrahim a.s. telah meningkat dewasa dan menyerahkan dirinya kepada Allah serta membawa risalah dari-Nya untuk kaumnya agar tidak menyembah berhala, maka dia mula menyeru keluarganya agar meninggalkan penyembahan berhala tersebut. Tentunya yang mesti pertama kali beliau hadapi adalah ayahnya, Azar.
Dalam surah Maryam ayat 42-46, menjelaskan bahawa Nabi Ibrahim a.s. ketika secara tiba-tiba dihadapkan pada kekafiran dan penentangan ayahnya kepada Allah dan mengetahui sebagai nabi dan rasul akibat daripada penentangan ini, beliau mulai memujuk ayahnya agar tidak mengikuti jalan syaitan. Hal itu disebabkan beliau lebih banyak tahu daripada ayah dan kaumnya mengenai akibat perbuatan engkar mereka ini disokong oleh kekuatan syaitan dan para pembantunya. Ini kerana beliau telah dianugerahi ilmu pengetahuan oleh Allah yang tidak diberikan kepada ayah mahupun kaumnya. Ilmu beliau kuasai ini berkaitan dengan pengetahuannya tentang matlamat syaitan yang bertujuan mempengaruhi ayah dan kaumnya untuk menyembah berhala, bukan kepada Allah.
Nabi Ibrahim a.s. mengakhiri dialog ini dengan ucapannya, "Wahai ayahandaku! Aku takut dan khuatir engkau terkena azab daripada Tuhan kerana ketetapan hatimu untuk terus menyembah selain-Nya. Disebabkan perbuatan itu, engkau akan menjadi teman syaitan dan merasakan azab di dalam api neraka pada hari kiamat nanti." Nabi Ibrahim a.s. bertutur dengan kata yang bijak, tenang dan lemah lembut ketika bersama ayah beliau.
Meskipun begitu, ayahnya tetap mempertahankan dirinya sebagai penentang dakwahnya yang benar dan hal ini membuatkan kesedihan dan kecemasan di dalam jiwa dan fikirannya semakin bergelojak. Apatah lagi setelah ayahnya melontarkan ungkapan berikut sebagai akhir daripada dialognya ini :
" Jika engkau tidak mahu berhenti daripada dakwahmu ini, maka aku akan merejammu, aku akan membunuhmu dengan lemparan batu. Inilah balasan orang yang selalu membangkang kepada tuhan-tuhan kami. Keluar engkau dari rumahku ini.. Keluar..!"
Meskipun Nabi Ibrahim a.s. merasakan kepahitan hidup dalam menghadapi ayahnya menjadi penentang dakwahnya, namun beliau tetap sabar dalam menerima cubaan ini. Bahkan beliau berdoa kepada Allah agar memberi petunjuk keimanan kepada ayahny. Hal ini nampak pada dialog Nabi Ibrahim a.s. dengan ayahnya : "Wahai ayahandaku! Aku ingin berdamai denganmu. Aku tidak mahu berdebat dan menyakiti hatimu. Aku rela diusir olehmu, tetapi kejahatanmu akan aku balas dengan kebaikan. Bahkan lebih daripada itu, aku akan meminta keampunan kepada Allah untukmu, kerana Tuhanku selalu menyayangiku."
Nabi Ibrahim a.s. pun melaksanakan seluruh janjinya tersebut kepada ayahnya. Terbukti ketika beliau selalu meminta ampun kepada Allah untuk ayahnya, sehingga benar-benar terbukti bahawa ayahnya adalah musuh Allah, maka beliau pun terlepas daripada tanggungjawabnya. Hal ini merupakan usaha terakhirnya yang kemudiannya berserah diri atas keputusan Allah yang telah mengujinya dengan kekafiran ayahnya.
Setelah kejadian ini, beliau berniat untuk meninggalkan dan menjauhi ayah dan kaumnya. Bahkan beliau berusaha untuk menentang dan menghancurkan tuhan-tuhan mereka serta meminta pertolongan kepada Allah dan kekuatan-Nya agar beliau boleh menyempurnakan rasa syukur atas nikmat-Nya yang dianugerahkan kepada beliau untuk menghadapi ketakutan yang dasyat dalam melawan kaumnya yang kafir.
Niatnya tersebut memang terbukti, ketika beliau tidak takut dan gementar menghadapi ajaran kaumnya yang sesat walaupun diugut dengan hukuman bakar yang telah mereka rancangkan dengan mencampakkan dirinya ke dalam nyalaan api jika beliau tidak mahu kembali lagi kepada ajaran mereka dan menyembah tuhan-tuhan mereka. Inilah ujian kedua dalam kehidupan Nabi Ibrahim a.s., ketika beliau bersabar menghadapi ujian pertama di saat harus meninggalkan ayah dan kaumnya, maka Allah membalasnya dengan kebaikan. Hal ini ada dalam surah Maryam ayat 49.
Begitulah serba sedikit kisah Nabi Ibrahim a.s. yang hendak aku kongsi bersama hasil dari bacaan aku kerana ia juga merupakan pengorbanan yang dilakukan oleh beliau yang terpaksa meninggalkan ayah dan kaumnya untuk menyebarkan ajaran Islam. Sama-samalah kita jadikan iktibar daripada sedikit kisah ini walaupun sebenarnya masih banyak lagi pengorbanan yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment