Tuesday, February 26, 2013

Sepuluh Ribu - Penyunting WNRD


Lagi sekali Wani Ardy membuatkan aku ingin terus menulis walaupun aku tidak pandai menulis. Baru baca 'Cerpen Untuk Fasyali' sudah membuatkan aku ingin menulis walaupun aku tidak pandai menulis. Kenapa? Aku pun tidak tahu. 

Apa yang pasti, apabila menulis aku akan lebih mengenali diri aku. Kenapa? Sebab aku akan menyindir diri aku. Bila diri aku disindir, aku akan ingat akan kesilapan aku. 

'Cerpen Untuk Fasyali', aku pun tidak pasti siapakah penulis yang sebenarnya. Adakah Fasyali sendiri ataupun Zara? Walau siapa pun yang menulis, walau siapa pun yang ditulis, kedua-duanya saling bergantungan untuk menjadikan cerpen yang sangat menarik. 

Sebelum ini aku ada menulis review untuk Langit Vanilla, kali ini suntingan Wani Ardy untuk Sebuah Antologi SEPULUH RIBU berjaya lagi menawan hati aku untuk membaca dan berkongsi. Daripada 10 keping gambar telah menghasilkan 10 cerita yang sangat menguja. 

Semoga Wani Ardy terus menulis dan terus berkongsi ilmu yang ada. 

Friday, August 31, 2012

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 55 Malaysia


Hari ini, tanggal 31 Ogos 2012 merupakan ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke 55. Bersyukur kerana negara Malaysia masih merdeka dari dijajah oleh mana-mana negara lain. Tahun ini merupakan tahun bersejarah di negara Malaysia kerana terdapat tema sambutan kemerdekaan yang berbeza daripada negeri-negeri yang diperintah oleh parti Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Kenapa perkara ini harus berlaku di negara kita? Tidakkah ini menunjukkan negara kita tidak bersatu walaupun tidak dijajah oleh negara lain? Kita adalah negara Malaysia bukan negara Barisan Nasional ataupun negara Pakatan Rakyat. 

Aku bukanlah seorang ahli politik, aku juga bukanlah seorang wakil rakyat malah aku juga bukan pentadbir negara ini. Aku adalah rakyat Malaysia yang cintakan negara Malaysia. Kenapa pemimpin-pemimpin tidak boleh menolak fahaman politik buat seketika bagi menyambut ulangtahun kemerdekaan? Aku suka apa yang ditulis oleh Wani Ardy dalam Langit Vanilla, muka surat 139.

Jangan biar ideologi pisahkan kita. Biar semua ada pemikiran masing-masing. Lebih baik berfikir dari tidak berfikir. Dalam berkawan, kawan itu kita tidak ambil badannya saja. Kita ambil mindanya juga; seluruhnya dia. Jangan anggap kawan kita tidak boleh berfikir. Terima perbezaan dan berhenti menyuruh dia menyebelahi sesuatu pihak.

Sama-sama kita renungkan. 

Dan video oleh Mat Lutfi dan Malaysian pada tahun lepas boleh dijadikan pengajaran dan renungan buat kita semua. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 55 Malaysia.





Wednesday, August 29, 2012

Amalan duit raya


Setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, di antara perkara yang sentiasa difikirkan oleh semua orang adalah duit raya. Tidak kira ibubapa, anak-anak, dan saudara mara, baik semua yang menyambut perayaan ini, sudah pasti akan memikirkan duit raya. Ibubapa akan memikirkan berapa banyak duit raya yang hendak diberikan kepada anak-anak mereka, kanak-kanak yang datang ke rumah dan anak-anak buah mereka. Manakala, anak-anak dan kanak-kanak pula akan sibuk memikirkan berapa banyak duit raya yang bakal mereka terima daripada ibubapa mereka dan rumah yang mereka kunjungi.

Pernahkah kita terfikir, kenapa kita berikan duit raya ini? Adakah sebab ganjaran untuk anak-anak yang berpuasa? Adakah sebab hendak menunjuk-nunjuk kemampuan kita memberikan duit raya? Semua itu hanya diri kita sendiri dan Allah sahaja yang mengetahuinya.


Pada pandangan aku, kenapakah perlu memberi duit raya?

BERSEDEKAH - Niat bersedekah adalah yang terbaik untuk memberikan duit raya kepada kanak-kanak. Walaubagaimana pun, seeloknya bersedekah ini dilakukan pada bulan Ramadhan kerana perbuatan bersedekah di bulan Ramadhan akan dilipat kali gandakan amalan tersebut. Sekiranya mempunyai wang yang lebih untuk bersedekah di bulan Syawal, barulah seeloknya kita memberikan duit raya ini dengan niat bersedekah.

AMALAN - Sudah menjadi amalan turun temurun keluarga memberikan duit raya kepada sanak saudara dan kanak-kanak yang datang ke rumah bagi menggembirakan tetamu yang hadir.

MENGGALAKKAN ANAK BERPUASA - Salah satu cara untuk menggalakkan anak-anak berpuasa adalah dengan memberikan duit raya. Walaubagaimana pun, kita sebenarnya tidak seharusnya mengajar anak-anak kita dengan kaedah ini kerana seharusnya kita mendidik anak-anak kita untuk berpuasa kerana Allah bukan kerana ganjaran duit raya. Mungkin mudah bagi aku untuk menulis di sini kerana aku masih belum mempunyai anak tetapi aku sentiasa mengingatkan diri aku ini. 

Percayakah kita yang anak-anak boleh dibentuk sahsiahnya jika betul didikan kepada mereka? Aku percaya kerana anak-anak hatinya masih suci ibarat kain putih. Jika sejak mereka kecil lagi kita menerapkan didikan agama yang cukup, insyAllah dengan izin dari-Nya, mereka akan menjadi anak-anak yang soleh. Biarpun susah untuk menerangkan sesuatu yang tidak dilihat dengan mata anak-anak ketika mereka masih kecil tetapi mereka pasti boleh menerima apa yang dijelaskan oleh ibubapa mereka. Oleh itu, kita perlulah sentiasa menambah ilmu agama di dalam diri kita supaya dapat kita menyampaikan di antara satu sama lain. Waalahualam.