Sunday, February 26, 2012

Di antara kesilapan ibubapa dalam mendidik anak

Mungkin aku bukanlah seseorang yang layak untuk menceritakan kisah mendidik anak ini dan aku sememangnya tidak mempunyai pengalaman dalam mendidik anak. Walaubagaimana pun, aku ingin berkongsi apa yang telah aku perolehi dari kuliah oleh Ustaz Khalid Haji Mohd Isa. Semoga apa yang disampaikan oleh beliau dapat kita peroleh kebaikan.


Anak yang baru dilahirkan ke dunia ini adalah diibaratkan kain putih yang suci. Ibubapa lah yang akan membentuk dan mencorakkan anak-anak ini. Di antara kesilapan yang sering dilakukan oleh ibubapa dalam mendidik anak mereka adalah seperti di bawah. Semoga ibubapa dapat mengelakkan daripada melakukan kesilapan-kesilapan ini.

Kesilapan pertama: Kurang berdoa 
- Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah Saidul (penghulu) Istighfar Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 8-9) Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 38) Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41). Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128) Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74) Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya. 

Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi)
- Seperti: menakutkan anak-anak dengan sekolah, menakutkan dengan tempat gelap, menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau, menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.

Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak
- Tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka. 

Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif
- Seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah). Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain. 

Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual)
- Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani. 

Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak
- Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra' : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra' kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."-(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas
- Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi dihadapan anak-anaknya. 

Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas
- Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh. 

Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah
- Seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi. 

Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak
- Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah. 

Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang
- Seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam. 

Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak
- Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya. 

Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita
- Baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar. 

Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton
- Samada dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak. 

Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak
- Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam. 


Semoga para ibubapa dan yang bakal menjadi ibubapa dapat menghindarkan diri daripada melakukan kesilapan-kesilapan ini kerana sesungguhnya anak adalah anugerah daripada Allah yang sememangnya suci sejak mereka dilahirkan. Wallahualam.

Saturday, February 25, 2012

Bumi Syria


Setelah menonton video di bawah, aku terasa betapa kecilnya sumbangan aku terhadap agama aku. Itupun belum tentu lagi diterima oleh Allah. Aku hanya mampu berserah kepada-Nya agar menerima segala ibadah ku ini. Kita seharusnya bersyukur kerana berada di negara yang aman ini. Tetapi betapa ruginya kita kerana tidak dapat sama-sama berjihat demi menegakkan agama Islam seperti saudara-saudara kita di Syria. Aku hanya mampu mendoakan semoga perjuangan saudara-saudaraku di Syria mendapat Syahid. 

Aku rasa, belum tentu aku mempunyai keberanian seperti saudara-saudara ku di Syria kerana aku dilahirkan di negara Malaysia yang aman ini. Tetapi, setelah menonton video ini, terasa sangat untuk bersama-sama saudara-saudara ku di Syria. Betapa hebatnya mereka-mereka ini, betapa yakinnya mereka ini. Kita mungkin sering menyebut kalimah Bismillahhirahmanirahim, mengucap dua kalimah shahadah, takbir, tetapi pernahkah kita mendalami dan menghayati maksud kalimah-kalimah itu dengan bersungguh-sungguh? 

Kita kadangkala lupa yang dunia ini hanyalah sementara sehingga menyebabkan kita leka dengan mainan dunia ini. Kita terlalu taksub kepada sesuatu seperti seorang individu selain daripada Rasullullah, taksub akan harta kemewahan dunia, dan lain-lain lagi. Percayalah dan yakinlah yang kita akan mati dan dunia ini hanyalah persinggahan sementara. Aku hanyalah insan biasa yang begitu cetek pengetahuan tentang agama. Mungkin aku ada tersalah tulis, atau tersalah bahasa, tegurlah aku. Aku hanya ingin berkongsi apa yang aku perolehi, apa yang aku baca bersama-sama rakan-rakan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah swt.


Thursday, February 23, 2012

Faktor-faktor jadi malas untuk update blog

Ramai orang yang rajin membaca blog orang dan tidak ramai yang rajin untuk menulis blog. Aku ambil contoh diri aku sendiri. Actually aku memang sangat rajin untuk membaca blog-blog yang aku follow kat Google Reader tapi aku agak malas untuk update blog aku sendiri. Sebenarnya kalau diikutkan banyak yang nak tulis kat blog ni, tapi disebabkan beberapa faktor dan yang paling utama adalah MALAS, membuatkan blog aku ini jarang di update. Lagipun aku blogging ni bukan untuk mengejar page view tapi just for fun dan mengisi masa lapang. Di antara faktor-faktor yang menyebabkan malas untuk update blog adalah seperti berikut :

KEKURANGAN IDEA

Mungkin disebabkan faktor kekurangan idea menyebabkan blog anda jarang di update. Mungkin tiada topik yang hendak ditulis, atau tiada isu yang menarik hendak dikongsikan bersama. Tapi pada pandangan aku, jika kita rajin membaca, tidak mungkin kita kekurangan idea. Mungkin kekurangan idea bagaimana hendak menterjemahkan idea yang ada dalam bentuk penulisan.

MASA YANG SESUAI

Masa yang sesuai adalah faktor utama dalam menulis blog. Jangan sesekali kita cakap yang kita tidak cukup masa kerana Allah telah memberikan 24 jam sehari adalah sangat mencukupi cuma kita yang tidak pandai untuk membahagikan masa tersebut. Melalui pemerhatian aku, ada di antara blogger yang tegar ini, mereka tidak menulis blog bila online sahaja, tetapi mereka akan menulis di Word ataupun Notepad sebelum mereka publish di blog mereka. Tapi untuk aku pula, aku perlukan masa yang sesuai untuk update blog ini, sebagai contoh, ketika mood baik, dah tiada bahan bacaan, dah habis menonton TV series yang aku follow. So memang agak susah nak mencari masa yang sebegitu untuk aku. Hehe!

KURANG KEYAKINAN DIRI

Kebanyakkan blogger yang tegar, mereka sangat confident dengan penulisan mereka. Mereka tidak mengambil kira sensitiviti disekeliling dan sangat yakin yang mereka mempunyai followers. Tapi, aku ini agak kurang keyakinan diri untuk menulis kerana memikirkan faktor-faktor disekeliling dan terlalu menjaga hati orang lain. Itulah kelemahan yang menyebabkan blog tidak di update. Hehe! Kalau nak diikutkan, memang banyak juga benda nak ditulis tapi sebab kurang keyakinan diri untuk menulis apa yang terlintas difikiran, menyebabkan apa yang berlegar difikiran tidak dapat diterjemahkan di dalam blog.

ADA KOMITMEN YANG LAIN

Ada diantara blogger yang masih bujang dan ada blogger yang telah mendirikan rumah tangga. Tidak kira lelaki ataupun perempuan, kebanyakkan daripada blogger yang bukan menjadikan blog sebagai sumber pendapatan, mereka akan lebih komited kepada komitmen mereka yang lebih penting. Jadi, disebabkan terdapat komitmen lain yang lebih penting seperti keluarga, tunang, girlfriend / boyfriend, kerja hakiki, atau lain-lain lagi, menyebabkan blog mereka tidak update. 


Mungkin terdapat banyak lagi faktor-faktor lain yang menyebabkan blog jarang di update. Jadi, terpulanglah kepada pemilik blog itu samada untuk rajin update blog mereka atau biarkan bersawang. Hehe! Janganlah kita hendak memarahi blogger yang kita minat itu sekiranya mereka tidak update blog mereka kerana terdapat banyak faktor-faktor yang boleh menyebabkan blog mereka tidak update.