Monday, November 7, 2011

Ujian Nabi Ibrahim a.s. menerusi ayahnya.


Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, ramai yang menceritakan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dengan anaknya Nabi Ismail a.s. Mungkin telah ramai yang mengetahui kisah tersebut. Jadi, aku rasakan lebih baik jika aku berkongsi dengan rakan-rakan pembaca berkaitan ujian Allah ke atas Nabi Ibrahim a.s. menerusi ayahnya. Ia juga merupakan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. yang terpaksa meninggalkan rumahnya (ayahnya) demi menyebarkan agama Islam. Di bawah ini adalah secara ringkas kisah Nabi Ibrahim a.s. dan ayahnya.


Ayah Nabi Ibrahim a.s. merupakan seorang pedagang patung-patung berhala yang dipahatnya sendiri. Dalam beberapa surah di dalam Al-Quran telah memaparkan kedudukan ayah Nabi Ibrahim a.s. terhadap dakwah beliau kepada ayahnya agar menyembah kepada Allah Taala dan seruan beliau kepada ayahnya dan kaumnya agar meninggalkan penyembahan kepada berhala sepertimana halnya Al-Quran juga telah memaparkan pertentangan sengit daripada ayah Nabi Ibrahim a.s. terhadap dakwahnya di dalam jalan Allah Taala seperti di dalam surah al-An'am ayat 74

Datuk Nabi Ibrahim a.s., Nahur adalah seorang pakar dalam bidang peramalan nasib. Nabi Ibrahim a.s. tumbuh dewasa dalam asuhan ayahnya yang kerjayanya sebagai pembuat berhala sembahan kaumnya. Nabi Ibrahim a.s. melalui hari-harinya bersama ayah dengan melepasi masa-masa pembuatan berhala-berhala tersebut. Terkadang beliau melihat ayahnya membelah kayu dan memahatnya menjadi berhala, maka beliau berusaha membuang jauh-jauh kayu itu daripada ayahnya atau terkadang dia gunakan kayu itu sebagai kayu bakar. Beliau berharap agar ayahnya menyedari bahawa berhala-berhala itu tidak mampu melindungi dirinya sendiri, bagaimana pula dia boleh menjadi tempat permohonan manusia agar tunduk dan sujud kepada berhala-berhala tersebut.

Ketika Nabi Ibrahim a.s. telah meningkat dewasa dan menyerahkan dirinya kepada Allah serta membawa risalah dari-Nya untuk kaumnya agar tidak menyembah berhala, maka dia mula menyeru keluarganya agar meninggalkan penyembahan berhala tersebut. Tentunya yang mesti pertama kali beliau hadapi adalah ayahnya, Azar.

Dalam surah Maryam ayat 42-46, menjelaskan bahawa Nabi Ibrahim a.s. ketika secara tiba-tiba dihadapkan pada kekafiran dan penentangan ayahnya kepada Allah dan mengetahui sebagai nabi dan rasul akibat daripada penentangan ini, beliau mulai memujuk ayahnya agar tidak mengikuti jalan syaitan. Hal itu disebabkan beliau lebih banyak tahu daripada ayah dan kaumnya mengenai akibat perbuatan engkar mereka ini disokong oleh kekuatan syaitan dan para pembantunya. Ini kerana beliau telah dianugerahi ilmu pengetahuan oleh Allah yang tidak diberikan kepada ayah mahupun kaumnya. Ilmu beliau kuasai ini berkaitan dengan pengetahuannya tentang matlamat syaitan yang bertujuan mempengaruhi ayah dan kaumnya untuk menyembah berhala, bukan kepada Allah.

Nabi Ibrahim a.s. mengakhiri dialog ini dengan ucapannya, "Wahai ayahandaku! Aku takut dan khuatir engkau terkena azab daripada Tuhan kerana ketetapan hatimu untuk terus menyembah selain-Nya. Disebabkan perbuatan itu, engkau akan menjadi teman syaitan dan merasakan azab di dalam api neraka pada hari kiamat nanti." Nabi Ibrahim a.s. bertutur dengan kata yang bijak, tenang dan lemah lembut ketika bersama ayah beliau.

Meskipun begitu, ayahnya tetap mempertahankan dirinya sebagai penentang dakwahnya yang benar dan hal ini membuatkan kesedihan dan kecemasan di dalam jiwa dan fikirannya semakin bergelojak. Apatah lagi setelah ayahnya melontarkan ungkapan berikut sebagai akhir daripada dialognya ini :
" Jika engkau tidak mahu berhenti daripada dakwahmu ini, maka aku akan merejammu, aku akan membunuhmu dengan lemparan batu. Inilah balasan orang yang selalu membangkang kepada tuhan-tuhan kami. Keluar engkau dari rumahku ini.. Keluar..!"

Meskipun Nabi Ibrahim a.s. merasakan kepahitan hidup dalam menghadapi ayahnya menjadi penentang dakwahnya, namun beliau tetap sabar dalam menerima cubaan ini. Bahkan beliau berdoa kepada Allah agar memberi petunjuk keimanan kepada ayahny. Hal ini nampak pada dialog Nabi Ibrahim a.s. dengan ayahnya : "Wahai ayahandaku! Aku ingin berdamai denganmu. Aku tidak mahu berdebat dan menyakiti hatimu. Aku rela diusir olehmu, tetapi kejahatanmu akan aku balas dengan kebaikan. Bahkan lebih daripada itu, aku akan meminta keampunan kepada Allah untukmu, kerana Tuhanku selalu menyayangiku." 

Nabi Ibrahim a.s. pun melaksanakan seluruh janjinya tersebut kepada ayahnya. Terbukti ketika beliau selalu meminta ampun kepada Allah untuk ayahnya, sehingga benar-benar terbukti bahawa ayahnya adalah musuh Allah, maka beliau pun terlepas daripada tanggungjawabnya. Hal ini merupakan usaha terakhirnya yang kemudiannya berserah diri atas keputusan Allah yang telah mengujinya dengan kekafiran ayahnya.

Setelah kejadian ini, beliau berniat untuk meninggalkan dan menjauhi ayah dan kaumnya. Bahkan beliau berusaha untuk menentang dan menghancurkan tuhan-tuhan mereka serta meminta pertolongan kepada Allah dan kekuatan-Nya agar beliau boleh menyempurnakan rasa syukur atas nikmat-Nya yang dianugerahkan kepada beliau untuk menghadapi ketakutan yang dasyat dalam melawan kaumnya yang kafir.


Niatnya tersebut memang terbukti, ketika beliau tidak takut dan gementar menghadapi ajaran kaumnya yang sesat walaupun diugut dengan hukuman bakar yang telah mereka rancangkan dengan mencampakkan dirinya ke dalam nyalaan api jika beliau tidak mahu kembali lagi kepada ajaran mereka dan menyembah tuhan-tuhan mereka. Inilah ujian kedua dalam kehidupan Nabi Ibrahim a.s., ketika beliau bersabar menghadapi ujian pertama di saat harus meninggalkan ayah dan kaumnya, maka Allah membalasnya dengan kebaikan. Hal ini ada dalam surah Maryam ayat 49

Begitulah serba sedikit kisah Nabi Ibrahim a.s. yang hendak aku kongsi bersama hasil dari bacaan aku kerana ia juga merupakan pengorbanan yang dilakukan oleh beliau yang terpaksa meninggalkan ayah dan kaumnya untuk menyebarkan ajaran Islam. Sama-samalah kita jadikan iktibar daripada sedikit kisah ini walaupun sebenarnya masih banyak lagi pengorbanan yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. Wallahualam.

Sunday, October 30, 2011

Who is Ip Man?

Who is Ip Man? Siapakah Ip Man? Ip Man merupakan Guru kepada Bruce Lee dan Mahaguru bagi seni mempertahankan diri Wing Chun. Mungkin agak terlewat sikit untuk menceritakan filem Ip Man ini sebab filem ini telah ditayangkan di pawagam pada tahun 2008. Walaubagaimana pun, disebabkan jalan ceritanya menarik, aku tetap nak mengajak kawan-kawan dan pembaca untuk menonton filem ini. Actually aku baru je menonton cerita ini minggu lepas, dari Ip Man, Ip Man 2, & Ip Man 3 - The Legend Is Born. Masa memula filem ini ditayangkan di pawagam, aku assume filem ini mengisahkan bidang IT sebab IP is stand for Internet Protocol. LOL! So time tu aku memang tiada perasaan untuk menonton filem ini.

Di bawah ini merupakan sedikit sebanyak sinopsis cerita Ip Man from the 1st until the latest. Sumber diperolehi di Wikipedia. Sila klik link di bawah untuk mengetahui sinopsis untuk setiap filem.



Ip Man 3 - The Legend Is Born.

Apa yang menarik dalam filem Ip Man? Bagi aku, yang menarik adalah seni mempertahankan diri Wing Chun yang tunjukkan dalam filem ini. Ip Man yang pertama menyaksikan Wing Chun vs Seni mempertahankan diri Jepun, Ip Man yang kedua menyaksikan Wing Chun vs Tinju dari British dan Ip Man yang ketiga menyaksikan Wing Chun yang telah ditambah baik oleh Ip Man.

Selain daripada itu, dalam filem ini juga kita akan dapat melihat, bagaimana dan apakah punca sesebuah negara dijajah. Dalam Ip Man pertama, kita dapat melihat bagaimana Jepun (Komunis) boleh menjajah Foshan ketika Second Sino-Japanese War. Salah satu sebabnya adalah berpunca daripada pengkhianat  yang sanggup menjadi 'balaci' Jepun pada ketika itu iaitu merupakan watak jurubahasa dalam filem tersebut. Sama juga bagi Ip Man 2 yang menyaksikan terdapat pengkhianat yang sanggup menjadi 'balaci' untuk British pada ketika itu. Daripada kedua-dua filem ini, aku simpulkan bahawa, sesebuah negara akan sukar untuk dijajah sekiranya tiada pengkhianat negara. Mungkin dalam kedua-dua filem ini, watak 'balaci' tersebut adalah dalam keadaan terdesak yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menjaga kepentingan diri sendiri tanpa menghiraukan negara sendiri dijajah. Rakyat sebegini tidak patut dibiarkan hidup. Selepas menonton filem ini, cuba anda fikirkan, apakah punca negara kita dijajah? Sama-samalah kita fikirkan.

Dalam filem ini juga, kita dapat ambil iktibar yang sesuatu ilmu itu perlu disampaikan kepada orang lain. Sebagai contoh, dalam filem Ip Man yang pertama & kedua, Ip Man pada mulanya enggan untuk mengajar Wing Chun kepada orang lain tetapi apabila Ip Man merasakan yang dia tidak mungkin dapat membantu semua orang, pada saat itu dia telah mengajar Wing Chun kepada orang ramai.

Di akhir filem Ip Man kedua, watak Bruce Lee telah muncul. Adakah Ip Man 4 akan muncul tidak lama lagi? Sama-sama kita nantikan kerana sudah pasti kita ingin mengetahui bagaimana kisah hidup Bruce Lee bermula.

Wednesday, October 26, 2011

Di mana lagi Laporan Ketua Audit Negara? Adakah hanya Negeri Selangor, P.Pinang & Kelantan sahaja yang ditegur?

Setelah menonton Buletin Utama TV3 suku semalam, aku terpanggil untuk sama-sama berkongsi dengan semua rakyat Malaysia berkenaan Laporan Ketua Audit Negara. Mungkin apa yang dilaporkan oleh Buletin Utama TV3 suku pada malam semalam, 25 Oktober 2011 adalah benar berkaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara tapi adakah hanya 3 negeri iaitu Selangor, P.Pinang & Kelantan sahaja yang ditegur oleh Ketua Audit Negara? Adakah negeri-negeri lain yang di bawah kerajaan BN semuanya tidak ditegur oleh Ketua Audit Negara? Oh, mungkin tidak ditegur sebab takut nanti kena pecat atau digantung kerja. Selalu beringat, rezeki itu datang daripada Allah, bukan manusia. Jangan takut untuk berkata benar.


Dari sumber yang aku perolehi, berkaitan Laporan Ketua Audit Negara untuk Kerajaan Negeri Johor, didapati Kerajaan Negeri Johor berhutang sebanyak RM 334.51 juta hingga Dis 2010. Kerajaan Negeri Johor mengikut Laporan Ketua Audit Negara telah membuat empat pinjaman iaitu tiga pinjaman bagi projek bekalan air manakala satu pinjaman bagi projek Ladang Hutan Kompensatori Kedua pada bulan Disember 2010 dan berhutang sebanyak RM134.25 juta, manakala tunggakan hutang berjumlah RM334.51 juta.

Laporan itu juga menjelaskan mengikut Master Aggrement antara Kerajaan Negeri Johor, Kerajaan Persekutuan, Syarikat Air Johor Sdn Bhd, Syarikat Air Johor Holding Sdn Bhd dan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB), pinjaman yang diterima oleh Kerajaan Negeri Johor daripada Kerajaan Persekutuan untuk membiayai projek bekalan air Johor akan diambil alih oleh PAAB.

Tapi semakan oleh Ketua Audit Negara mendapati pemgambilalihan tersebut masih belum selesai kerana baki pinjaman belum dimuktamadkan walaupun Master Aggrement telah pun ditandatangani pada 11 Mac 2009.

Projek bekalan air di Johor ni pun mungkin menerima nasib yang sama dengan apa yang telah terjadi di Negeri Kedah yang telah berjaya ditawan oleh Pakatan Rakyat dalam PRU12 yang lalu. Pendedahan mendapati banyak berlaku penyelewangan kerana Kerajaan Pusat menawarkan Geran untuk projek bekalan air ni tapi kerajaan negeri memilih untuk membuat pinjaman kerana jika menerima Geran dari Pusat, pemilihan kontraktor akan dibuat oleh pusat tapi jika membuat pinjaman, kerajaan negeri berhak untuk melantik kontraktor yang mana sudah tentu kontraktor yang dipilih dari kalangan kroni mereka.

Kerana ketamakan dalam mengejar projek mewah, kerajaan negeri sanggup untuk menggadai nasib rakyat yang akhirnya akan terbeban oleh hutang yang telah dibuat oleh pimpinan negeri. Dan sudah tentu cara untuk melangsaikan hutang tersebut adalah dengan menaikkan tariff air yang mana akan menambahkan bebanan hidup terhadap rakyatnya.


Menurut sumber lain berkaitan Laporan Ketua Audit Negara, mengikut laporan terbaru, antara teguran yang dibuat Ketua Audit Negara, ia kelakuan agensi kerajaan yang sangat jelas melanggari undang-undang.

Sebagai contoh, bangunan tambahan Perpustakaan Negara yang diduduki tanpa sijil CF tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai sebuah agensi kerajaan, mereka mesti tahu peraturan dan risiko menduduki sesebuah bangunan tanpa Sijil Boleh Menduduki (CF).

“Demikian juga teguran terhadap banyaknya projek kerajaan diberi melalui runding terus dan ianya jelas suatu tindakan untuk memberi projek kepada kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya.

Antara projek runding terus yang merugikan negara ialah pembelian kuda “sakit” oleh Majlis Sukan Negara. Daripada 23 ekor kuda yang dibeli dengan harga RM246,000 seekor, hanya 5 ekor sahaja layak bertanding,” kata Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuan Ibrahim juga membangkitkan keborosan dalam Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810% di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan.

Yang paling menjengkelkan, kata beliau ialah pembelian satu binokular oleh JLTM pada harga RM56,350 or 2,805% tinggi daripada harga pasaran RM1,940.

“Mara (Majlis Amanah Rakyat) juga tidak kurang hebatnya kerana sanggup membeli ketuhar hampir 300% (RM1,200) lebih tinggi daripada harga pasaran RM419 dan “katil boleh lipat” pada lima kali ganda RM500 yang harga pasarannya RM100. Keborosan sedemikian ini tidak kena pada tempatnya kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada warga Mara,” tegur beliau lagi.

Selain itu, kata Tuan Ibrahim syarikat-syarikat GLC yang ditegur bertahun-tahun juga terus dilanda kerugian. Antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta), Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta).

Pada skop yang lebih besar, kata beliau ialah kenaikan hutang negara sebanyak 12.3% kepada RM407.11 billion pada 2010 daripada RM362.39 billion pada 2009.

“Ini merupakan tahun kedua berturut-turut nisbah hutang negara kepada KDNK melebihi 50% pada 53.1%,” kata beliau.

Untuk laporan penuh Ketua Audit Negara boleh diperolehi di sini. Janganlah kita mudah diperdaya dengan sumber maklumat yang mudah kita perolehi kerana sumber yang mudah diperolehi ini sangat mudah untuk memperdayakan kita. Sentiasa nilai setiap apa yang kita perolehi, jangan mudah terima dengan bulat-bulat. Wallahualam.