Wednesday, September 7, 2011

Soalan bocor di hari raya

Di musim perayaan ini, amalan kunjung mengunjung ke rumah sanak-saudara sudah menjadi tradisi di negara kita. Disamping bermaaf-maafan, ia juga dapat mengeratkan hubungan silatulrahim sesama Islam. Biasanya pada awal bulan Syawal, amalan kunjung mengunjung dilakukan di rumah saudara-mara manakala setelah seminggu bulan Syawal hingga ke akhir Syawal, kunjung mengunjung dilakukan di rumah sahabat handai. Sejak kebelakangan ini juga, amalan rumah terbuka atau 'open house' sudah menjadi tradisi di negara kita ini juga. Rumah terbuka atau open house ini adalah bagi memudahkan mereka yang membuat rumah terbuka tersebut untuk menjemput rakan-rakan & sahabat handai untuk berkunjung ke rumah mereka. 

Topic kali ini bukan pasal rumah terbuka atau open house tapi mengisahkan soalan-soalan 'cepu emas' yang biasanya akan ditanya oleh saudara-mara kita apabila kita berkunjung ke rumah mereka. Di antara soalan-soalan yang biasa ditanya adalah seperti di bawah :

1. 'Kau ni bila nak kahwin? Umur meningkat dah. Memilih sangat ni.' - Soalan untuk yang bujang.
2. 'Kau ni bila nak dapat anak ni? Kahwin dah 3-4 tahun dah.' - Soalan untuk yang belum dapat anak.
3. 'Kau ni bila nak tambah baby lagi ni? Takkan satu je.' - Soalan untuk yang dah ada anak.

Ini adalah soalan-soalan yang biasa ditanya oleh saudara-mara kita. Cuba kita renungkan soalan-soalan ini. Nampak kelihatan mudah untuk dijawab tapi adakah mudah untuk yang perlu menjawab soalan-soalan ini? 

Pada pandangan peribadi aku, soalan ini merupakan soalan yang perlu ditanya mengikut kesesuaian keadaan dan situasi. Mungkin pada sesetengah pihak, mereka boleh menjawab soalan ini dengan tenang tanpa sebarang tekanan. Walaubagaimana pun, mungkin ada sesetengah pihak yang tidak dapat menjawab soalan ini dan memberi tekanan kepada individu tersebut di atas soalan yang diajukan. Sentiasalah berfikir sebelum kita bertanyakan sesuatu kepada seseorang itu demi menjaga pertalian silatulrahim antara kita.

Antara kesan yang mungkin dihadapi sekiranya soalan tersebut diajukan kepada seseorang yang sensitif & mudah tersinggung adalah seperti berikut :

- Individu tersebut akan cuba untuk mengelakkan diri dari mengunjungi ke rumah saudara yang bertanyakan soalan-soalan tadi kerana berasa segan & menjadi tekanan kepada individu tersebut. (Menyebabkan putusnya hubungan silatulrahim)

- Individu tersebut akan membalas pertanyaan tadi dengan mencari kelemahan-kelemahan mereka yang bertanya soalan tersebut. (Menyebabkan perbalahan & pergaduhan)

- Individu tersebut akan tertekan dan melakukan sesuatu perkara diluar jangkaan pemikiran kita seperti berjumpa bomoh untuk mendapatkan jodoh atau berjumpa dukun untuk mendapatkan anak. (Menyebabkan berlakunya khurafat)

Di atas tadi adalah di antara kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku hasil daripada soalan-soalan yang disangkakan mudah tadi. Jodoh dan rezeki telah ditentukan oleh Allah. Milik kita hanyalah berusaha. Bacalah posting berkenaan JODOH, petikan daripada Beduk Diketuk - Pahrol Mohd Juoi untuk renungan kita bersama.



Kepada yang ditanyakan soalan-soalan 'cepu emas' tersebut, janganlah kamu tertekan kerana setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Kepada yang bertanyakan soalan-soalan 'cepu emas' tersebut, berfikirlah kepada siapa kamu bertanya soalan itu dan renungkan kesan daripada tindakan kamu itu. Marilah sama-sama kita mengeratkan silatulrahim di bulan Syawal ini dengan sentiasa bermaaf-maafan sesama kita tapi bukan mencari memutuskan silatulrahim dengan soalan-soalan tersebut. 


Jodoh


Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga.  

Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha. Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

"Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya," kata seorang abang yang sangat saya hormati.
"Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?"

"Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya,"  jawabnya pendek.
"Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?" gurau saya.

"Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain..." 
Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.
          
"Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi,"  jelasnya dengan tenang.
"Habis mengapa putus?"

"Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta."
Wah, ini kisah cinta yang dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.

Isteri Amanah

"Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?"  kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.
"Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta."
         
"Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?"
"Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa."
         
"Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?"
"Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya."

Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, "Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga."

Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.
          
"Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi..."

Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. 

Tanpa saya pinta dia menyambung, "Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua."
  
Cantik Itu Relatif dan Subjektif

"Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er... er... kita masih manusia bukan?" saya menduga hatinya.

Dia ketawa tiba-tiba.
          
"Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya."
"Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?"
        
"Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?"
"Bukan yang cantik?" jolok saya lagi.
         
"Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya,"  balasnya dengan yakin.
"Maksud abang?"

Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.
         
"Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual."

Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, 

"Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami."
"Ya, betul tu!" kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, "Sedap di mata tetapi sakit di hati..."
  
Wasilah Memilih Jodoh

"Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?" ujar saya dengan soalan nakal.
 "Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja."

"Maksudnya yang dulu lebih cantik?"
"Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?"

Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.

"Apa kaitannya dengan hati?" layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.
"Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!"

Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik
           
"Ah, tentu dia bahagia kini!" bisik hati saya sendiri. 

"Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?"
"Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita."
         
"Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik."
"Tak mengapa. Kalau begitu, cuna cara pertama, jadilah orang yang baik."
         
"Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum."
Abang tersenyum lantas berkata, "Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?"

Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.
         
"Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!"

 Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.
         
"Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?"
"Kerana mereka bukan orang baik,"  jawabnya pendek.
         
"Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?"
"Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w."
         
"Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?"
"Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?"

Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.

Jodoh Urusan Allah
            
"Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat."
"Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?" tanya saya inginkan penjelasan muktamad.

"Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan 'orang baik' lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!"

Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!
         
"Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah."
"Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?"
         
"Mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi."
"Hikmah untuk kita?"
          
"Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya  pasangan kita bermasalah... bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah."

Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak "abang bayangan" saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. 

Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?

Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: 
         
"Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. Jadi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!" 


PETIKAN DARI BEDUK 28, BUKU “BEDUK DIKETUK” - PAHROL MOHD JUOI
TERBITAN TELAGA BIRU SDN BHD

Sunday, September 4, 2011

Subway

At this moment, my favourite food is Subway. Nyum, nyum, nyum. Maybe ramai juga yang dah minat Subway kat Malaysia sekarang. Actually dah lama nak tulis pasal Subway ini, cuma nak cari mood untuk tulis kena makan dulu. This evening, aku baru je makan Chicken Teriyaki. Kenapa aku beli Chicken Teriyaki? Sebab hari ini hari Sabtu. Kenapa hari Sabtu aku kena beli Chicken Teriyaki? Sebab Chicken Terayaki adalah 'Sub of the day' untuk hari Sabtu. 

Actually promotion ni dah lama dah, so if you buy 'Sub of the day', you just need to pay for RM 7.50. Basically, the price for every single dish for 6.5 inch is around RM 9.00 - RM 13.00. So you can save around RM 2.00 - RM 5.00. Kat bawah ini adalah 'Sub of the day' mengikut hari-hari yang telah ditetapkan.


Di Malaysia pada masa ini sahaja, terdapat 75 franchises Subway. Ini menunjukkan menu yang dihidangkan oleh Subway telah mendapat sambutan & boleh diterima oleh masyarakat di Malaysia. Menu utama yang menghidangkan sandwich dengan kandungan rendah lemah di bawah 350 kalori ini, sangat sesuai untuk dijadikan diet dalam usaha anda untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat & seimbang. 

Terdapat juga menu-menu lain selain daripada 'Sub of the day' seperti menu di bawah. So lepas ini bolehlah bertukar daripada fast-food yang tidak berapa menyihatkan kepada Subway. Sila click Subway Malaysia untuk maklumat lanjut.