Pernahkah kita terfikir yang kita ini hanyalah hamba di dunia ini? Tidak kira kaya ataupun miskin, kadangkala kita lupa yang kita ini adalah hamba kepada Allah Yang Maha Esa. Kita mungkin sedar apabila kita disedarkan yang kita ini hanyalah hamba Nya tapi kita lupa bila kita tidak disedarkan. Bagaimana kita hendak melihat adakah kita hamba Nya yang taat? Kita lihat dan muhasabah diri kita sendiri apakah kita taat akan perintah Nya?
Aku bukanlah seorang yang cerdik pandai tapi aku hendak berkongsi apa yang aku dapat.
Hamba Duit
- Manusia kadangkala akan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan duit sehingga kadangkala kita lupa akan hukum yang telah ditetapkan oleh Nya. Sebagai contoh, kerja siang malam mencari duit sehingga lupa tanggungjawab kepada Allah kerana tidak yakin duit yang diperolehi sudah cukup untuk menyara hidup keluarga. Allah tidak melarang umat Nya untuk mencari rezeki tetapi janganlah sehingga kita lupa yang dikejar adalah akhirat kelak kerana kita adalah hamba Allah bukan duit.
Hamba Kuasa
- Manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat atau meengekalkan kuasa. Sebagai contoh, manusia sanggup menipu, mengganas, dan sebagainya demi kepentingan kuasa mereka. Terlalu memikirkan bagaimana untuk menguasai dunia ini sehingga membelakangkan agama Islam.
Hamba Dunia
- Banyak lagi mainan dunia ini yang membuatkan manusia leka. Terlalu leka memikirkan keduniaan sehingga lupa yang kita ini hanyalah hamba kepada Allah sahaja. Kenapa kita harus takut kepada mainan dunia? Dunia hanyalah sementara dan janganlah kita menjadi hamba kepada mainan dunia ini.
Sesungguhnya, buatlah sesuatu perkara di dunia ini dengan niat kerana Allah swt dan janganlah sehingga kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba Allah swt. Tiada siapa yang tahu niat kita melakukan sesuatu itu melainkan diri kita sendiri dan Allah swt. Wallahualam.
(muhasabah diri)
Mungkin aku bukan seorang yang layak untuk memberikan tazkirah, kerana aku hanyalah insan yang serba kekurangan dengan ilmu agama. Namun aku cuma ingin berkongsi dan mengingatkan diri aku sendiri dengan apa yang aku baca. Mengikut Sheikh Dr Abu Anas, terdapat 5 kaedah untuk mendapat kusyuk di dalam solat; iaitu :
1. At-Tafahhum (التّفهّم) - Faham akan makna bacaan-bacaan di dalam solat.
2. At-Ta`zim (التعظيم) - Mengagongkan Allah ketika menunaikan solat.
3. Al-Haibah (الهيبة) - Berasa gerun dengan kehebatan Allah.
4. Ar-Raja’ (الرجاء) - Sangat mengharapkan rahmat dari Allah ketika mengerjakan solat.
5. Al-Haya’ (الحياء) - Malu dengan Allah akan kelemahan diri dalam menyempurnakan ibadah solat.
Solat adalah tiang agama. Jadi, sia-sialah jika kita solat tetapi tidak kusyuk. Semoga, video di bawah dapat menarik minat dan membantu kita sama-sama dalam untuk mengunakan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan kusyuk dalam solat. Wallahualam.
Esok tanggal 16 Mei 2012 merupakan sambutan Hari Guru di Malaysia. Kebanyakkan sekolah pada hari guru biasanya akan mengadakan pelbagai aktiviti-aktiviti bagi meraikan hari ini. Cara sambutan hari guru dari dahulu sehingga sekarang mungkin tidak banyak berubah cuma mungkin murid-murid yang meraikan guru-guru mereka tidak lagi semeriah zaman aku sekolah dahulu.
Zaman aku dulu iaitu sekitar tahun 1989 ke 2000, guru-guru sangat diraikan oleh pelajar-pelajar mereka. Ini mungkin disebabkan ketika zaman aku dulu, teknologi IT ini masih belum berkembang. Oleh itu, pelajar-pelajar akan lebih banyak menghabiskan masa mereka di alam realiti berbanding sekarang pelajar-pelajar lebih banyak menghabiskan masa mereka di alam maya dan semakin kurangnya komunikasi di antara pelajar dan guru. Di antara aktiviti-aktiviti yang diadakan ketika aku sekolah rendah dahulu, pelajar-pelajar akan membawa pelbagai makanan untuk dikongsikan bersama rakan-rakan dan guru. Seterusnya guru dan pelajar akan membuat beberapa persembahan untuk meraikan guru-guru.
Mungkin keadaan sekarang sudah berbeza kerana murid-murid sekarang kelihatan agak kurang meraikan guru-guru mereka. Mereka lebih gemar menghabiskan masa di alam maya seperti di 'social network' dan 'chatting'. Mereka lupa akan kehadiran dan pengorbanan guru ini.
Sama juga untuk guru, iaitu guru pada zaman dahulu dan zaman sekarang banyak berbeza. Mungkin bukan semua guru tapi kebanyakkannya sudah tidak sanggup berkorban masa, tenaga dan penat lelah untuk murid-murid mereka zaman sekarang ini. Tidak seperti zaman aku pelajar dulu, beberapa orang guru yang pernah mengajar aku dulu, banyak bekorban untuk mendidik aku menjadi anak bangsa yang berguna. Di antara guru-guru yang banyak meninggalkan kesan dan sentiasa dalam ingatan aku adalah :
Cikgu Rogayah
- Cikgu Rogayah merupakan cikgu kelas aku ketika aku darjah 1. Apa yang membuatkan aku tak pernah lupa kat beliau adalah ketegasan beliau dalam mendidik anak murid beliau. Cikgu Rogayah akan mencubit perut pelajar jika pelajarnya melakukan kesalahan yang agak berat. Mungkin jika pelajar sekarang dicubit, confirm mak bapak mereka akan saman cikgu itu. Tapi pada aku, itulah cara terbaik untuk mendidik para pelajar.
Cikgu Azilina
- Cikgu Azilina merupakan cikgu kelas aku ketika aku darjah 6. Apa yang membuatkan aku tak pernah lupa kat beliau adalah pengorbanan masa beliau dalam mendidik anak murid beliau. Cikgu Azilina akan membuatkan kelas tambahan pada hari Sabtu di rumah beliau sendiri bagi membantu pelajar-pelajar yang tidak mampu untuk membayar kelas tution. Bayangkanlah, masa itu Cikgu Azilina tidak meminta aku dan rakan-rakan walaupun sesen untuk mengadakan kelas tersebut. Siap cikgu menyediakan makanan bagi memastikan keselesaan pelajar-pelajarnya.
Cikgu Azman
- Cikgu Azman merupakan cikgu Fizik ketika aku form 5. Apa yang membuatkan aku tak pernah lupa kat beliau adalah cara beliau mengajar pelajar-pelajar. Cikgu Azman hanya akan membawa sebatang pen untuk menandatangan kedatangan pelajar-pelajar. Beliau akan memberikan penerangan berkaitan subjek fizik dengan hanya mengaplikasikan subjek fizik dengan kehidupan seharian. Pada pandangan aku dan rakan-rakan, beliau merupakan cikgu yang sangat mementingkan supaya pelajar-pelajar faham apa yang diajar berbanding dengan cikgu yang hanya mementingkan pelajar untuk lulus pada peperiksaan.
Cikgu Lilis Surihani
- Cikgu Lilis merupakan cikgu Fizik ketika aku berada di matrikulasi. Apa yang membuatkan aku tak pernah lupa kat beliau adalah cara beliau menarik minat pelajar-pelajar untuk meminati subjek fizik. Beliau sentiasa menganggap pelajar-pelajar seperti rakan-rakan sehingga membuatkan pelajar senang dengan beliau.
Sebenarnya masih banyak lagi guru-guru yang telah banyak memberikan impak yang besar dalam hidup aku cuma nama-nama guru yang aku senaraikan tadi merupakan guru-guru yang sentiasa dalam ingatan doa aku. Semoga masih ada lagi guru-guru seperti mereka ini. Dan kepada rakan-rakan aku yang telah menjadi guru, aku tujukan video di bawah ini untuk renungan anda semua. Dan kepada murid-murid, hargailah jasa dan pengorbanan guru-guru anda.