Setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, di antara perkara yang sentiasa difikirkan oleh semua orang adalah duit raya. Tidak kira ibubapa, anak-anak, dan saudara mara, baik semua yang menyambut perayaan ini, sudah pasti akan memikirkan duit raya. Ibubapa akan memikirkan berapa banyak duit raya yang hendak diberikan kepada anak-anak mereka, kanak-kanak yang datang ke rumah dan anak-anak buah mereka. Manakala, anak-anak dan kanak-kanak pula akan sibuk memikirkan berapa banyak duit raya yang bakal mereka terima daripada ibubapa mereka dan rumah yang mereka kunjungi.
Pernahkah kita terfikir, kenapa kita berikan duit raya ini? Adakah sebab ganjaran untuk anak-anak yang berpuasa? Adakah sebab hendak menunjuk-nunjuk kemampuan kita memberikan duit raya? Semua itu hanya diri kita sendiri dan Allah sahaja yang mengetahuinya.
Pada pandangan aku, kenapakah perlu memberi duit raya?
BERSEDEKAH - Niat bersedekah adalah yang terbaik untuk memberikan duit raya kepada kanak-kanak. Walaubagaimana pun, seeloknya bersedekah ini dilakukan pada bulan Ramadhan kerana perbuatan bersedekah di bulan Ramadhan akan dilipat kali gandakan amalan tersebut. Sekiranya mempunyai wang yang lebih untuk bersedekah di bulan Syawal, barulah seeloknya kita memberikan duit raya ini dengan niat bersedekah.
AMALAN - Sudah menjadi amalan turun temurun keluarga memberikan duit raya kepada sanak saudara dan kanak-kanak yang datang ke rumah bagi menggembirakan tetamu yang hadir.
MENGGALAKKAN ANAK BERPUASA - Salah satu cara untuk menggalakkan anak-anak berpuasa adalah dengan memberikan duit raya. Walaubagaimana pun, kita sebenarnya tidak seharusnya mengajar anak-anak kita dengan kaedah ini kerana seharusnya kita mendidik anak-anak kita untuk berpuasa kerana Allah bukan kerana ganjaran duit raya. Mungkin mudah bagi aku untuk menulis di sini kerana aku masih belum mempunyai anak tetapi aku sentiasa mengingatkan diri aku ini.
Percayakah kita yang anak-anak boleh dibentuk sahsiahnya jika betul didikan kepada mereka? Aku percaya kerana anak-anak hatinya masih suci ibarat kain putih. Jika sejak mereka kecil lagi kita menerapkan didikan agama yang cukup, insyAllah dengan izin dari-Nya, mereka akan menjadi anak-anak yang soleh. Biarpun susah untuk menerangkan sesuatu yang tidak dilihat dengan mata anak-anak ketika mereka masih kecil tetapi mereka pasti boleh menerima apa yang dijelaskan oleh ibubapa mereka. Oleh itu, kita perlulah sentiasa menambah ilmu agama di dalam diri kita supaya dapat kita menyampaikan di antara satu sama lain. Waalahualam.
No comments:
Post a Comment