Cerita ini adalah rekaan semata-mata tiada kena mengena dengan yang masih hidup ataupun telah mati. Aku menulis cerita ini untuk kita renungkan bersama kisah sebuah keluarga ini. Semoga dengan kisah keluarga ini dapat kita membuka sedikit minda kita supaya tidak terkongkong dengan sesuatu yang duniawi.
Mengisahkan sebuah keluarga hidupnya susah yang terdiri daripada seorang ayah, seorang ibu dan 3 orang anak. Suatu hari, ayah kepada keluarga ini telah membelanjakan duit gajinya untuk membeli sebuah televisyen LCD walaupun di rumahnya telah mempunyai sebuah televisyen yang besar. (televisyen lama) Televisyen tersebut masih berfungsi dengan baik dan tiada sebarang kerosakan.
Tiba-tiba, salah seorang daripada anak ayah ini menegur dengan nada baik akan tindakan ayahnya itu. "Ayah, daripada ayah membeli sebuah televisyen LCD yang baru, lebih baik ayah belikan kami peralatan sekolah, dan barang masakan untuk ibu masak.", kata salah seorang daripada anak keluarga ini.
Kerana rasa egonya dicabar, ayah meninggikan suara, "Suka hati akulah hendak buat apa dengan duit ini! Aku adalah KETUA keluarga ini!" Anaknya tadi terus terdiam dan meminta maaf.
Persoalan daripada kisah di atas, adakah seorang anak tidak berhak untuk menasihat atau menegur ayahnya itu? Adakah sebagai KETUA keluarga, ayahnya boleh berbelanja sesuka hati walaupun duit itu adalah hasil daripada usaha ayahnya? Adakah LCD itu lebih penting daripada peralatan sekolah dan barang masakan untuk keluarga? Sama-sama kita renungkan.
Mungkin pandangan aku lebih kepada anak kerana aku masih belum menjadi seorang ayah. Tapi, aku berharap agar Allah memberikan aku kekuatan untuk berfikir secara waras dan sentiasa berpandukan Al-Quran dan Sunnah dalam membuat sesuatu keputusan itu. Pada pandangan aku, duit itu adalah milik ayahnya tetapi tujuan utama ayahnya bekerja adalah untuk menyara keluarga. Jadi, pandangan aku adalah tidak salah sekiranya anak itu menegur perbelanjaan ayahnya tadi. Letak ketepi ego sebagai seorang bapa itu selagi teguran anak itu tidak bertentangan dengan agama.
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian melainkan mereka yang beriman dan beramal saleh. Pesan memesan dengan kebenaran. Pesan memesan dengan kesabaran." (Surah Al-Asr)
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment