Kisah yang hendak dikongsi bersama hasil bacaan Beduk Diketuk.
Suatu hari Nabi Sulaiman a.s. bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperluankannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebesar sebiji gandum.
Lalu Nabi Sulaiman a.s. memasukkan semut tersebut di dalam suatu botol dengan diletakkan bersamanya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu ditutup. Cukup tempoh setahun, mulut botok itu pun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman a.s. Anehnya baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang hendak dimakan oleh semut tersebut.
Nabi Sulaiman a.s. bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji gandum?
Sang semut menjelaskan bahawa jika diluar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.
Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman a.s.) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan keprihatinan manusia. Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun, apa akan terjadi kepadanya?
LEBIH YAKIN JAMINAN ALLAH
Ertinya semut lebih yakin jaminan Allah ketika di luar botol berbanding 'jaminan' manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah semut mengambil langkah berjimat cermat yakni dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukannya dalam masa setahun supaya jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan, dia mampu bertahan. Masih ada baki makanan yang boleh digunakan.
Inilah sifat tawakal dan ikhtiar yang kita boleh pelajari daripada semut. Jangan sekali-kali bergantung kepada sesama makhluk dalam soal rezeki. Bergantunglah kepada Allah.
Kalau ada pihak yang berkata, saya jamin bekalan makanan atau simpanan petrol akan sentiasa mencukupi untuk sekian-sekian tahun, jangan terlalu yakin. Sebaliknya bertawakallah kepada Allah dan berikhtiarlah dengan keupayaan sendiri. Jika tidak, kita akan dikecewakan. Jadilah seperti semut itu.
Berapa kerat manusia yang benar-benar mengambil panduan daripada ajaran Islam ketika berhadapan dengan krisis dan kemelesetan ekonomi?
Ada seruan yang menganjurkan supaya hidup berjimat ketika ekonomi meleset pada hal Islam menganjurkan jimat cermat tanpa mengira situasi dan keadaan. Orang membazir adalah saudar syaitan. Tidak kira sama ada semasa ekonomi meleset atau stabil, sama ada dalam keadaan harga minyak naik atau tidak.
Ada pula pihak yang menguar-uarkan agar dilakukan perubahan gaya hidup dalam keadaan sekarang. Sinisnya, bukankah cara hidup orang Islam ialah cara hidup Islam, apa lagi yang hendak diubah?
Jarang-jarang benar kita mendengar tafsiran yang lebih tersirat tentang apa yang berlaku kini. Maksudnya, tafsiran yang merujuk kepada musabbabil asbab (faktor penyebab) bukan hanya asbab (sebab).
Hasil karya;
Pahrol Mohd Juoi.
No comments:
Post a Comment