Sunday, August 24, 2014

Nami, Comradenami, Nomy Nozwir

Aku rasa ramai yang dah kenal nama di atas. Mungkin tak seluruh negara tapi golongan yang rajin membaca novel, blog, tumblr, The Malaysian Insider, dan media sosial majoritinya mungkin mengenali beliau. Aku tak pernah lagi menulis pasal penulis dan ini adalah pertama kali memandangkan Nami adalah salah seorang yang Dia cipta untuk membuka minat aku pada pembacaan. Next time aku akan cerita individu lain pula yang mula-mula mempengaruhi semula minat aku pada pembacaan. Sebenarnya ibubapa dan guru adalah insan yang pertama sejak dari lahir dan di sekolah telah lama berusaha untuk menarik minat aku untuk membaca cuma mungkin disebabkan sistem di negara ini menyebabkan minat membaca itu tidak sampai pada aku. Ibubapa dan guru tak salah pun.

Berbalik kepada insan yang lebih dikenali dengan panggilan Nami. Aku baru juga mengenali Nami ini. (aku yang kenal dia, dia tak kenal aku pun masa tu). Lebih kurang setahun macam tu la. Aku bukanlah Wikipedia untuk menceritakan siapa Nami ini secara fakta atau sumber kajian, tapi aku tulis pasal Nami sekadar mana yang aku kenal Nami daripada hasil karyanya.  Aku kenal dia disebabkan novel Lelaki Eksistensial terbitan Lejen Press. Aku baca buku ini disebabkan oleh sahabat aku bernama Md Ruzihan (Mat). Sejak Mat ini tahu aku dah mula minat membaca, dia pun suruh aku baca novel Lelaki Eksistensial ini. Pada mulanya, aku tanya Mat, kenapa aku harus baca novel? Sebab setahu aku novel Melayu tak habis-habis pasal cinta, cinta tiga segi dan sangat klise. Paling lejen pun yang aku pernah baca dulu adalah Lagenda Budak Setan. Ok, kalau nak diikutkan semua novel klise, sama juga macam Nami. Tapi Nami berjaya menyelitkan terma-terma ilmiah serta intelek dan Nami menjadikan klise itu luar biasa. Sebab itu aku tertarik dengan tulisan Nami. 


Sebagai contoh, novel Lelaki Eksistensial ini mengisahkan tentang seorang yang tidak dinyatakan namanya, seorang kasanova dengan kekasih-kekasihnya. Ciri-ciri kekasihnya berbeza antara satu sama lain tetapi menjurus kepada seorang gadis-gadis di zaman persekolahannya yang menolak cintanya dulu. Mereka bertemu kembali lalu mencetus banyak persoalan eksistensial dalam diri.

Setelah membaca novel Lelaki Eksistensial, aku mula mencari semua tulisan-tulisan Nami dengan bantuan Mat dan Google. Di antara novel-novel Nami yang telah aku baca adalah Awek Chuck Taylor (best sellers) Rokok Nan Sebatang, Bayang, Bau Semangat Anak Muda, Pengejar Bintang, Diorama Eksisten dan yang terbaru adalah Enam Darjah (Gabungan semua novel di atas tadi). Selain itu juga, Nami ada menulis cerpen dalam Main Gila, tulisan berganding dengan Aisa Linglung dalam Dendam Anak Jagoan dan tulisan berkenaan bola sepak dalam Muslimeen United. Mungkin ada lagi buku lain yang Nami tulisa tapi aku tak tahu. 

Selain daripada novel, Nami yang aku kenal sangat aktif dengan tumblr Teh Tarik Gelas Besar. Tulisan di Teh Tarik Gelas Besar lebih kepada kisah hidup dan pandangan peribadi Nami. Terdapat juga tulisan-tulisan Nami yang masih belum dibukukan sebagai novel sebagai contoh Komrad Cinta, Rondes, Diari Seorang Diktator dan mungkin ada juga yang aku pun tak baca lagi.

Nami seorang yang kritis pada perkara-perkara mainsteam dalam isu semasa yang berlaku di negara kita. Sebagai contoh, anda boleh baca di The Malaysian Insider bertajuk 'Melayu dan DNA Babi'. Nami membuatkan minda aku tidak tertumpu kepada satu pandangan sahaja. Banyak lagi pandangan menarik oleh Nami di The Malaysian Insider yang boleh anda semua baca.

Kepada yang gemar media sosial dan malas membaca, kalau anda ingin mengenali Nami, anda boleh follow Nami di Twitter @comradenami. Facebook pula di sini. Macam aku beritahu awal tadi, aku bukan Wikipedia. Jadi, apa yang aku tulis pasal Nami ini adalah pandangan peribadi aku secara peribadi. Aku pernah nampak Nami ni beberapa kali juga, cuma macam aku bagitahu awal tadi, dulu-dulu aku je yang kenal Nami, Nami mana kenal aku. Kah Kah Kah! Terus terang aku katakan, aku hanya pernah berborak betul-betul dengan Nami secara berdepan hanya sekali sahaja di kedai mamak Pandan Indah, tu pun nasib baik ada Mat. Masa tu, aku rasa aku hanya berborak kosong saja dengan Nami, mungkin kerana baru kenal. Antara perkara yang aku masih ingat kami bualkan adalah pasal Rondes, Enam Darjah, teater Awek Chuck Taylor dan minah bernama Mariam ke apa entah (Yang ni aku tak faham sebab masa kejadian tu aku masih belum kenal Nami). 

Bila dah lama follow Nami kat twitter, aku rasa walaupun ada satu dua perkara yang aku tak bersetuju dengan Nami berkenaan isu semasa, namun aku rasa aku dapat mencari titik persamaan. Walaupun mungkin ada perkara yang aku tak setuju 'on the spot' tapi ia semua bergantung pada proses dan masa. Sama macam kisah Nami dengan Mariam ke entah siapa entah namanya itu. Aku respect bila Nami membuat permohonan maaf secara terbuka di The Malaysian Insider walaupun tiada arahan daripada mahkamah (macam kes Nurul Izzah nak kena tunggu arahan mahkamah baru nak minta maaf). Mungkin ketika kejadian tidak sependapat dengan Mariam ke entah siapa entah namanya itu, Nami tidak dapat menerima kritikan daripada perempuan itu tapi setelah sekian lama, Nami dengan ikhlas hati meminta maaf kepadanya. (Maaf jika apa yang aku tulis ini entah apa-apa sebab aku pun sebenarnya tak pasti punca perselisihan pendapat mereka berdua ini)

Aku harap, suatu hari nanti aku akan dapat berbual isu semasa dengan Nami kerana aku rasa Nami seorang yang sangat rajin membaca dan tinggi intelektualnya. Walaupun ada beberapa perkara berkaitan dengan agama dan politik yang aku tidak sependapat dengan Nami tapi aku masih dapat menerima pandangan Nami selagi perkara itu tidak bertentangan dengan agama. Aku percaya yang setiap kejadian yang berlaku dalam dunia ini sentiasa ada dua atau lebih pendapat. Sebab itulah dalam surah Al Fatihah yang kita baca berulang-ulang kali ada menyebut, 'Tunjukkanlah aku jalan yang lurus'. Bila kita mohon petunjuk, bermakna kita sentiasa perlu membuat pilihan cuma yang mana benar, hanya Dia yang Maha Mengetahui. Wallahualam.

1 comment:

EMBUN KARINA ABDULLAH said...

can i know you? saya baru aktif semula blog,then sama ternampak komen2 awak sebelum ni/ hai saya embunkarina