Tuesday, October 4, 2011

Berbalah kerana perangkap tikus

Untuk renungan bersama. Aku ambil cerita ini dari salah seorang penulis blog yang menggelarkan dirinya AntiKarat. Untuk mengelakkan daripada melibatkan parti politik, aku ubah serba sedikit cerita ini bagi anda untuk menilai kebaikan perangkap tikus untuk renungan bersama. Walaubagaimana pun, isi cerita yang ditulis masih sama.


"Cerita ini agak pelik bunyinya. Pelik tak pelik, tetap dan telah berlaku. Haji Musa menghadapi masalah tikus yang agak kronik. Banyak pakaian rosak berlubang di sana-sini digerit tikus. Baik pakaian anak-anaknya mahupun pakaian dia dan isteri yang mahal-mahal. Apabila sudah berlubang, tidaklah boleh dipakai lagi. Dibuang begitu saja sedangkan masih elok. Pakaian anak-anak bolehlah ditampal itu pun kalau berlubangnya tak banyak.

Selain itu, makanan seperti roti dan buah-buahan juga dimakan oleh tikus-tikus di rumahnya. Yang paling menakutkan sekarang ialah air kencingnya.  Maklumlah sudah banyak tersebar berita orang mati kerana air kencing tikus.

Haji Musa bercadang untuk memasang perangkap tikus. Dia menceritakan masalah dan rancangannya itu kepada jiran-jirannya yang turut mengalami masalah yang sama. Terkejut sakan Haji Musa apabila rancangan itu ditentang oleh jiran, Ah Tee. Alasan Ah Tee ialah rancangan Haji Musa itu zalim kepada binatang. Maka bising dan hebohlah Ah Tee membantah rancangan Haji Musa itu. Oleh sebab nak jaga hati jirannya, Encik Halim, jiran sebelah rumah yang satu lagi turut menyokong Ah Tee, malah lebih-lebih pulak marahnya terhadap idea Haji Musa.

Haji Musa agak terkedu dengan sikap Encik Halim dan Ah Tee. Namun dalam diam-diam dia terus membeli beberapa perangkap tikus. Selang beberapa hari kemudian, dia mendapat khabar bahawa jirannya Ah Tee dimasukkan ke wad kerana terkena jangkitan kuman air kencing tikus. Haji Musa bergegas melawat Ah Tee di hospital. Tak lama kemudian, tiba pula jirannya, Encik Halim.

Keadaan Ah Tee agak kritikal. Namun sempat juga mereka berbual ringkas tentang penyakit itu. Di hujung perbualan itu, Ah Tee berkata, “Haji, maafkanlah aku kerana melarang rancangan haji untuk pasang perangkap tikus. Baru aku tahu tikus amat bahaya. Kau pasanglah perangkap tikus tu. Tolong beli dan pasang juga kat rumah aku.”

Encik Halim yang menentang keras penggunaan perangkap itu, rasa terkilan dengan perubahan sikap Ah Tee, lalu katanya, “Buat apa kita perangkap tikus. Baik kita bagi dia cukup makan, tidaklah tikus-tikus itu mengganggu kita.”  Menggeleng kepala Haji Musa dan Ah Tee mendengar cadangan Encik Halim itu.

Alhamdulillah. Setelah melawat, pulanglah Haji Musa dan Encik Halim ke rumah masing-masing. Tiga hari kemudian Ah Tee yang berjaya diselamatkan, kembali ke rumahnya juga.

Sebulan kemudian, gempar berita dalam media, Encik Halim, maut kerana jangkitan kuman air kencing tikus. Mengucap panjang Haji Musa. “Aiyaa!!!" kata Ah Tee, “ itulah tidak mahu guna perangkap tikus.”

Moralnya ialah andaikata perangkap itu ialah hukum hudud dan tikus itu ialah penjenayah, apakah umat Islam dan masyarakat bukan Islam lebih rela membiarkan penjenayah mencari mangsa tanpa mengenal agama dan bangsa daripada menyelamatkan masyarakat dan negara secara keseluruhannya? Apakah rasional masyarakat bukan Islam menentang umat Islam yang ingin mengamalkan ajaran Islam dalam kalangan mereka tanpa melibatkan gangguan dan gugatan terhadap kepentingan masyarakat bukan Islam? Sama-sama kita renungkan. 

No comments: